Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

MELAKA – Isu penduduk di Sungai Udang yang dikatakan terpinggir terutamanya daripada aspek kebajikan dan bantuan, akan menjadi satu fokus calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Tambah beliau, antara isu yang akan mendapat perhatian ialah isu sempadan yang mana terdapat pengundi kawasan perumahan dan kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang diwartakan sebagai kawasan DUN Lendu.

“Sebagai wakil rakyat kita perlu memberikan perkhidmatan kepada rakyat, walaupun mereka bukan tinggal di dalam DUN yang kita wakili dan ia sebahagian daripada tanggungjawab seorang wakil rakyat,” katanya ketika ditemui di Klebang, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media yang memetik penduduk memohon agar kerajaan menyelesaikan masalah taman dan kampung mereka yang terpinggir ekoran persempadanan semula pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Penduduk mendakwa Taman Indah, Taman Terendak Heights dan Perkampungan Tanah Merah dimasukkan dalam kawasan DUN Lendu namun penduduknya pengundi kawasan DUN Sungai Udang.

Berikutan itu, penduduk terbabit sukar mendapatkan bantuan daripada wakil rakyat, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan pihak berkuasa tempatan.

Mohamad Ali yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara berkata, beliau akan membuat tinjauan di kawasan berkenaan dalam masa yang terdekat bagi melihat sendiri permasalahan yang berlaku.

Tambahnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, isu tiga kawasan berkenaan akan diteliti semula dan rayuan akan dibuat agar tiga penempatan itu diletakkan di bawah DUN Sungai Udang sekiranya cadangan persempadanan kawasan pilihan raya dilakukan pada masa akan datang.

Menurut beliau, isu lain yang dibangkitkan penduduk di DUN Sungai Udang membabitkan kemudahan jalan raya serta fasiliti kesihatan dan pendidikan. – MalaysiaGazette