Suspek yang memukul warga emas dengan helmet di stesen minyak dalam kejadian semalam di Jalan Duta berjaya diberkas semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu peribadi yang bertindak ganas memukul seorang pemandu kereta dengan menggunakan topi keledar di sebuah stesen minyak dalam kejadian pada semalam berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihisam Abdul Shukor berkata, rakaman video insiden itu telah tular di media sosial sebelum polis mempergiatkan usaha mengesan penunggang motosikal itu.

Katanya, polis telah menjalankan tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan berumur 38 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

“Suspek yang bekerja sebagai pemandu peribadi mempunyai satu rekod jenayah dadah  pada tahun 2010 dan masih dikehendaki polis bersabit kes tersebut.

“Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek pada 13 November 2021 didapati negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau,  polis telah merampas pakaian yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian dan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss MR3 serta sebuah helmet.

Menurut beliau, berdasarkan keterangan daripada suspek, kereta mangsa telah masuk ke petak pam minyak ketika dia juga mahu mengisi minyak motosikalnya di petak yang sama.

“Suspek yang berasa tidak puas hati kerana kereta mangsa mendahului motosikalnya kemudian bertindak memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar.

“Mangsa dalam kes ini merupakan seorang lelaki warga emas tempatan berumur 64 tahun telah menerima rawatan hospital dan dibenarkan keluar wad hari ini.

“Keterangan lanjut mangsa akan dirakam oleh polis apabila mangsa telah benar-benar pulih dan bersedia untuk beri keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja
mendatangkan cedera menggunakan senjata,” tegasnya.

Suspek telah reman selama tiga hari hingga 16 November ini di bawah Seksyen. 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Amihisam meminta kerjasama saksi awam yang berada di tempat kejadian untuk memberi keterangan berkaitan insiden ini di balai polis berdekatan atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.- MalaysiaGazette