Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis telah selesai mengambil keterangan lengkap daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib Hasnul Baharuddin yang didakwa telah memukul bekas isterinya.

Beliau telah dipanggil polis dan dirakam percakapan selepas menerima laporan polis daripada mangsa iaitu bekas isterinya Juliani Jalilah Abdullah minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridzwan Mohd Nor @ Saleh berkata, wakil rakyat pari Amanah itu telah dipanggil  sejurus selepas menerima laporan polis tersebut untuk membantu siasatan polis.

“Selepas mengambil keterangan dari dia, kita juga telah memanggil mangsa iaitu bekas isterinya serta ahli keluarga yang terlibat untuk membantu dalam siasatan.

“Kesemua mereka iaitu wakil rakyat, bekas isteri dan ahli keluarga mereka sudah selesai dirakam percakapan masing-masing tanpa sebarang masalah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Ahmad Ridzwan, wakil rakyat berkenaan dan saksi iaitu bekas isterinya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses merekod keterangan mereka oleh pegawai penyiasat kes ini bagi membantu siasatan.

Justeru katanya, kertas siasatan kini dalam proses untuk dirangkum dan dilengkapkan.

“Kertas siasatan yang dilengkapkan nanti akan dirujuk kepada perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dalam minggu ini untuk arahan lanjut,” tegasnya.

Ujarnya kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas dakwaan menyebabkan kecederaan, selain siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.

Dua hari lepas iaitu pada Sabtu lalu, Ahmad Ridhwan mengesahkan pihaknya sedang menyiasat wakil rakyat dari parti Amanah itu selepas menerima laporan polis memukul bekas isterinya Juliani Jalilah Abdullah.

Juliani difahamkan telah membuat laporan polis terhadap bekas suaminya itu, mendakwa dirinya diserang pada 21 Ogos lalu.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor itu dan Juliani dilaporkan sudah bercerai di Mahkamah Syariah Kuala Langat.- MalaysiaGazette