Calon BN N.09 Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Krubong, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 15 NOVEMBER 2021.

ALOR GAJAH – Tidak bertemu rakyat selepas bergelar Yang Berhormat (YB) tidak mungkin berulang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal sekiranya Barisan Nasional (BN) dipilih pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November ini.

Calon BN, Zahari Abd Kalil yang mendedahkan perkara itu berkata, rata-rata pengundi yang ditemui ketika melakukan walkabout semasa berkempen mengadu tidak dikunjungi  wakil rakyat terdahulu hingga menyukarkan mereka meluahkan masalah.

Beliau mendakwa, ia berlaku ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir Melaka dan beliau akan memastikan perkara tersebut tidak berulang.

“Ya lah, selalu yang saya jumpa (pengundi) mereka kata wakil rakyat tak turun padang, maksudnya tak jumpa dengan rakyat beri peruntukan, itu rintihan yang selalu saya dengar.

“Jadi, insyaAllah macam mana yang berlaku di Kampung Beringin saya akan buat (bantu penduduk miskin),” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Zahari berkata, beliau berazam akan kerap bertemu rakyat dan mendengar masalah-masalah yang dialami mereka selain cuba menyelesaikan isu banjir yang sekian lama menghantui penduduk di kawasan berkenaan.

Tambahnya, perkara itu ada di dalam manifesto BN dan ia akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin jika rakyat Melaka memberi kepercayaan dengan milih BN.

Selain itu, beliau berkata, perkara lain yang akan diberikan tumpuan adalah menyelesaikan masalah kesesakan yang sering kali berlaku di pekan Durian Tunggal.

Katanya, beliau telah mengenal pasti alternatif, termasuk jaringan susur keluar atau jalan raya baharu untuk membantu mengurangkan kesesakan kenderaan di kawasan terbabit.

Ujarnya, perkara tersebut penting untuk diselesaikan bagi memudahkan penduduk dan pengunjung luar menggunakan  jalan tersebut dengan selesa.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perjalanan kempen yang kini sudah masuk hari kelapan, Zahari yang merupakan bapa kepada dua orang anak berkata, beliau telah bertemu hampir 70 peratus pengundi di kawasan yang ditandingi.

Katanya, berbaki hanya enam hari lagi untuk membuang undi beliau beriltizam untuk bertemu semua pengundi-pengundi di kawasan DUN Durian Tunggal bagi mengumpul seberapa banyak aduan yang boleh diperolehi.

“Walaupun sebelum ini BN kalah dengan Pakatan Harapan, tapi kami tetap menghulur sumbangan-sumbangan dan ia tidak berhenti.

“Jadi, rakyat nampak perkara itu dan saya yakin boleh merampas semula kawasan ini walaupun saya adalah calon baharu,” tambahnya. – MalaysiaGazette