Calon Barisan Nasional N.06 Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis menunjukkan laporan pencapaian pada sidang media pelancaran manifesto Dun Rembia pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Taman Saujana Height, Alor Gajah, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis tampil dengan enam teras sebagai modal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berbaki lima hari lagi.

Menurutnya, ia meliputi pendidikan, keagamaan, anak muda, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan, ekonomi serta perumahan untuk rakyat.

Beliau berkata, tidak akan menjanjikan sehingga puluhan manifesto, memadai hanya enam untuk dilaksanakan sekiranya dapat meneruskan mandatnya yang juga penyandang kerusi DUN berkenaan sebelum ini.

“Di bawah sektor pendidikan, kita akan memperluaskan lagi program tuisyen percuma kepada anak-anak Rembia, menambah peruntukan program kembali ke sekolah dan masjid serta rumah ibadat kaum lain di bawah sektor keagamaan.

“Lebih banyak kawasan industri kecil dan sederhana juga akan dibuka di sini untuk merancakkan peluang ekonomi serta memastikan lebih banyak projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) untuk rakyat berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan laporan pencapaiannya ketika menjadi ADUN Rembia selama tiga tahun empat bulan bagi tahun 2018 hingga 2021 di Alor Gajah, Melaka di sini hari ini.

Laporan pencapaian calon Barisan Nasional N.06 Rembia, Datuk Muhammad jailani Khamis pada sidang media pelancaran manifesto Dun Rembia pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Taman Saujana Height, Alor Gajah, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 NOVEMBER 2021.

Ketua Penerangan UMNO Alor Gajah itu berkata, sepanjang tempoh itu, pelbagai pembangunan dan kebajikan telah diagihkan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama, bangsa dan parti politik.

“Pelbagai rancangan ekonomi bagi membanteras kemiskinan sedang dijalankan kerana itulah antara masalah utama membelenggu penduduk di sinik Kemiskinannya bukan hanya dipelopori oleh bangsa Melayu dan India sahaja, malah Cina dan hampir semua masyarakat dalam DUN ini.

“InsyaAllah sekiranya diberi mandat, matlamat pembangunan ekonomi akan dilaksanakan kerana kita tidak mahu anak-anak Rembia keluar dari sini untuk cari pekerjaan.

“Kalau boleh kita wujudkan penjanaan ekonomi di DUN ini supaya penduduk dapat berbelanja dan mencurah kembali ke dalam sektor ekonomi dalam kawasan Rembia,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk berkempen, Jailani berkata keadaan itu menyebabkan beliau hanya sempat bertemu dengan kira-kira 20 peratus pengundi DUN berkenaan.

“SOP yang ketat jadi memang agak terhad nak berjumpa dengan pengundi. Mungkin saya baru jumpa 20 peratus secara kebetulan ketika bersarapan sebab kalau nak berinteraksi dengan berceramah pun tidak boleh.

“Cara lain itulah kita cetak laporan pencapaian 2018 hingga 2021 ini dan masukkan dalam peti pos dari rumah ke rumah,” katanya.

DUN Rembia yang mempunyai seramai 15,756 bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru iaitu calon bebas, K. Murali, Zamri Pakiri (PH-PKR), Sabarudin Kudus (Bebas), Zamzuri Arifin (PN- Bersatu). – MalaysiaGazette