Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin terima sumbangan peralatan rangkaian sejuk dari Jepun menerusi Kerjasama Teknikal Malaysia dan Jepun di Putrajaya semalam.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM)  menerima sumbangan peralatan rangkaian sejuk bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan vaksin Covid-19 bernilai lebih RM6 juta.

Sumbangan tersebut  dilaksanakan melalui Kerjasama Teknikal Malaysia dan Jepun yang diselaraskan oleh Japan International Cooperation Agency (JICA).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerima sumbangan yang diserahkan oleh Duta Jepun ke Malaysia, Oka Hiroshi dan Senior Representative JICA Malaysia, Fukazawa Shinsaku menerusi satu majlis penyerahan rasmi semalam di Putrajaya.

Jelas kementerian berkenaan, kerajaan Jepun melalui JICA telah menyumbang 184 unit peti sejuk, 1,343 unit kotak pendinginan (cold box) dan 1,579 unit pencatat data (data logger).

KKM berkata, semua peralatan berkenaan telah diagihkan ke fasiliti kesihatan di seluruh Malaysia.

“Peralatan yang disumbangkan membantu menampung keperluan penyimpanan vaksin Covid-19 sepanjang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan telah diserahkan kepada fasiliti bermula pada bulan September 2021,” kata KKM menerusi kenyataan hari ini.

Dengan sumbangan berkenaan, KKM mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Jepun dan sentiasa mengalu-alukan kerjasama sebegini di masa hadapan.- MalaysiaGazette