Mohideen.
Mohideen.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil tindakan segera melaksanakan langkah keselamatan berkesan melindungi kanak-kanak yang tinggal di bangunan tinggi.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tindakan drastik berhubung keselamatan di bangunan tinggi bagi mengelak tragedi membabitkan kanak-kanak perlu diambil segera.

“Mantan Menteri KPKT, Datuk Zuraida Kamaruddin pada 2018 berkata, pihaknya akan mengkaji pelaksanaan langkah keselamatan baharu di bangunan tinggi selepas beberapa tragedi maut membabitkan kanak-kanak terjatuh dari tingkat atas bangunan.

“Zuraida turut menyatakan kementerian tersebut akan melihat semula struktur bagi melihat sama ada spesifikasi perlu diubah agar pemilik rumah terasa seperti penjara dengan membuat pagar terlalu tinggi.

“Jadi CAP ingin tahu apa yang sudah dilakukan  KPKT selepas kenyataan ini dibuat sejak 2018?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohideen, menerusi laporan berkenaan juga, Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL 1984) menetapkan bahawa pagar balkoni bangunan tinggi tidak boleh kurang daripada satu meter tinggi.

“Bagi mengelakkan sebarang tragedi membabitkan kanak-kanak khususnya dari bahagian balkoni berlaku, langkah keselamatan mesti disepadukan ke dalam struktur bangunan itu sendiri.

“Seperti yang dapat kita lihat menerusi video, kanak-kanak itu boleh memanjat pagar balkoni ke tebing bermakna balkoni bangunan itu tidak selamat,” tegasnya.

Baru-baru ini tular satu klip video di media sosial yang memaparkan kanak-kanak perempuan memanjat pagar di balkoni sebuah pangsapuri sebelum berjalan di bahagian tebingnya.

Menerusi video berdurasi 33 saat yang dipercayai berlaku di Selayang, Selangor itu, kanak-kanak berkenaan dilihat melepasi pagar balkoni di tingkat tinggi pangsapuri dan berjalan di tebing sebelum dilihat tergesa-gesa memanjat semula pagar di balkoni terbabit.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, paparan video itu bukan sahaja ngeri malah boleh mengakibatkan kematian jika tersalah langkah.

“Kita tidak tahu keseluruhan situasi kanak-kanak itu dalam video berkenaan, tetapi cara tergesa-gesa bagi melepasi pagar dan kembali ke balkoni menunjukkan bahawa dia mungkin sudah diberitahu supaya tidak memanjat pagar dan mengetahui sedang melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya.

“Kita juga perlu memahami bahawa ibu bapa tidak boleh memerhati anak-anak mereka setiap masa malah kanak-kanak yang sentiasa ingin tahu tidak akan sentiasa mendengar dan mematuhi nasihat ibu bapa.

“Sehubungan itu, kita gesa KPKT mengambil tindakan segera berhubung isu ini agar tiada insiden berdarah berlaku,” kata Mohideen. – MalaysiaGazette