Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan akhir kes solar hybrid di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, Kuala Lumpur.Foto FIKRI YAZID, 18 FEBRUARI 2021.
IMBAS SEMULA. Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan akhir kes solar hybrid di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, Kuala Lumpur.Foto FIKRI YAZID, 18 FEBRUARI 2021.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan tidak mempunyai kuasa untuk memberikan perintah injuksi bagi kes-kes jenayah, kata pendakwaan dalam kes rasuah projek solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram hari ini berhujah bagaimana mahkamah tidak mempunyai kuasa mendengar rayuan yang telah dikemukakan oleh isteri bekas Perdana Menteri itu berkaitan kes tersebut.

Hujah Gopal Sri Ram, Mahkamah Rayuan tidak boleh mendengar rayuan dikemukakan oleh Rosmah selepas keputusan oleh Mahkamah Tinggi pada 24 September lepas.

“Keputusan yang telah dibuat pada waktu perbicaraan yang sedang berjalan tidak boleh dirayu sebaliknya  hanya boleh dilakukan selepas perbicaraan penuh atau telah disabitkan kesalahan mahupun dibebaskan pertuduhan.

“Juga jika keputusan itu pertuduhan itu digugur atas alasan cacat, jadinya rayuan yang dikemukakan ini bagi menolak keputusan mahkamah dan membatalkan perbicaraan serta wajar ditolak,” katanya dihadapan tiga panel hakim yang diketuai oleh Datuk Hanipah Farikullah.

1MDB Prosecutor Datuk Seri Gopal Sri Ram Rosmah Mansor solar hybrid project corruption trial Najib Razak
Datuk Seri Gopal Sri Ram

Turut bersidang, Datuk M. Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.

Dalam pada itu, kata bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu, isu berkaitan bidang kuasa yang ditimbulkan oleh pembelaan boleh didengari pada mana-mana peringkat dan memohon supaya prosiding ini ditangguhkan dahulu.

Terdahulu, peguambela mewakili Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu mahkamah hujah yang dikemukakan oleh pendakwaan berkaitan bidang kuasa mahkamah jenayah.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 November bagi kedua-dua pihak memfailkan hujah masing-masing berhubung perkara yang sama.

Sebelum ini, Rosmah telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak untuk membatalkan perbicaraan rasuah itu selain menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai Ketua Pendakwaan.

Rosmah sedang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor. -MalaysiaGazette