Alexander Schallenberg. foto EPA

VIENNA – Kerajaan Austria mengarahkan sekatan pergerakan di seluruh negara bagi individu yang tidak divaksinasi mulai tengah malam Ahad untuk memerangi peningkatan jangkitan dan kematian akibat koronavirus.

Langkah itu melarang individu berumur 12 tahun ke atas yang tidak divaksinasi daripada meninggalkan rumah mereka kecuali untuk aktiviti asas seperti bekerja, membeli barangan keperluan, berjalan-jalan atau mendapatkan vaksin.

Tindakan tegas itu dilakukan selepas kerajaan bimbang peningkatan jangkitan dan kematian kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Paling dikhuatiri, kakitangan hospital tidak lagi dapat menangani kemasukan pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.

“Adalah tugas kami sebagai kerajaan Austria untuk melindungi rakyat.

“Oleh itu kami memutuskan bahawa mulai Isnin … akan ada sekatan pergerakan bagi mereka yang tidak divaksinasi,” kata Canselor Alexander Schallenberg kepada pemberita di Vienna.

Penutupan itu menjejaskan kira-kira 2 juta orang di negara Alpine yang mempunyai 8.9 juta orang penduduk, lapor agensi berita APA.

Namun, peraturan ini tidak terpakai kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun kerana mereka belum lagi mendapat vaksin secara rasmi.

Penutupan pada mulanya akan berlangsung selama 10 hari dan polis akan melakukan rondaan untuk memeriksa orang ramai di luar untuk memastikan mereka diberi vaksin, kata Schallenberg, sambil menambah pasukan tambahan akan ditugaskan melakukan rondaan.

Malah individu yang tidak divaksinasi boleh didenda sehingga 1,450 euro (AS$1,660) jika mereka melanggar perintah berkurung.

Austria merekodkan kadar vaksinasi yang paling rendah di Eropah Barat iaitu hanya sekitar 65% daripada jumlah penduduk yang diberi vaksin sepenuhnya.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Austria telah menghadapi peningkatan jangkitan yang membimbangkan dan pihak berkuasa melaporkan 11,552 kes baharu pada hari Ahad.

Sejak seminggu yang lalu terdapat 8,554 jangkitan harian baharu, selain kes kematian juga meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada hari Ahad, 17 kematian baharu dilaporkan.

Secara keseluruhan, jumlah kematian akibat pandemik Austria ialah 11,706, lapor APA. – AP