Abdul Hakim Amir Osman

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan Kempen Year End Zakat (YEZ) 2021 yang bermula hari ini hingga 31 Disember 2021 dengan tema Berdiri Bersama.

Kempen ini merupakan seruan dan galakan kepada para pembayar untuk menyegerakan bayaran zakat mereka sebelum 31 Disember 2021 bagi menikmati rebat cukai pendapatan taksiran tahun 2021 disamping pelbagai aktiviti dilaksana sepanjang kempen.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman kempen ini juga bertujuan untuk mengajak semua khususnya para pembayar untuk bersama kita menggalas tanggungjawab membantu mereka yang memerlukan seterusnya bersama kita bangkit dalam mengharungi situasi sukar Covid-19 ini.

Menurutnya, sepanjang bulan ini dan Disember, 10 kaunter PPZ-MAIWP akan beroperasi seperti biasa iaitu dari jam 8.15 pagi hingga 4.45 petang.

Pada bulan Disember kaunter akan dibuka setiap hari termasuk cuti umum dan pada minggu terakhir Disember PPZ-MAIWP menyediakan kaunter khas taksiran bagi memudahkan pengiraan, pertanyaan zakat atau semakan penyata zakat.

Selain operasi kaunter, bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19, PPZ-MAIWP juga menggalakkan urusan pembayaran zakat dilakukan secara dalam talian melalui www.zakat.com.my atau aplikasi MyZakat yang boleh dimuat turun di Google Play atau Apple Store.

Pembayaran zakat juga boleh dibuat melalui ejen-ejen rasmi yang telah dilantik oleh PPZ-MAIWP iaitu melalui perbankan internet, portal online, e-wallet, kaunter-kaunter bank dan pos.

Bagi nilai tambah baharu, kaunter zakat digital, kaunter zakat bergerak, Door To Door & Ride2U juga ditawarkan. Untuk tempahan boleh layari link di portal https://mytemujanji.zakat.com.my/

Pembayar yang membuat bayaran zakat sepanjang kempen ini berpeluang memenangi lebih 1,200 hadiah menarik dengan para pemenang akan dipilih melalui cabutan secara rawak tertakluk kepada terma dan syarat.

Bertepatan dengan tema Kempen “Berdiri Bersama”, PPZ-MAIWP turut mengadakan beberapa program yang akan melibatkan para pembayar zakat, MAIWP dan para asnaf antaranya program turun padang, Bual Bicara Santai, Super Sunday dan banyak lagi.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen ini, sila layari www.zakat.com.my/yez2021 – MalaysiaGazette