Calon-calon bebas menunjukkan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani bagi memastikan tidak ada calon menyertai mana-mana parti politik selepas memenangi PRN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Menara Persekutuan, Ayer Keroh, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 15 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH –  Gagasan Bebas yang mewakili sebahagian besar calon bebas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini menghantar penzahiran akuan bersumpah (SD) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Akuan bersumpah itu dizahirkan sebagai menunjukkan komitmen 15 daripada 22 calon bebas yang berada dalam gagasan itu tidak akan menyertai mana-mana parti politik di negara ini.

Setiausaha Sekretariat gagasan tersebut, Muhammad Omar berkata, ramai dalam kalangan rakyat yang menyangka calon-calon bebas yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini hanya main-main tetapi hakikatnya mereka berhasrat mahu mengembalikan kestabilan di negeri bersejarah itu.

“Jadi, dengan adanya akuan bersumpah ini ia menunjukkan bahawa Gagasan Bebas dan calon-calon bebas adalah serius untuk kembalikna kestabilan politik di Melaka dan bergerak kehadapan dalam membangunkan negeri.

“Kita dah lihat ketidak stabilan politik telah mengganggu pelabur untuk datang ke Melaka malah, ia juga menjejaskan aktiviti pelancongan…kita perlu hentikan perkara ini daripada sekarang dan bukannya mahu memberi keselesaan kepada ahli-ahli politik berparti,” katanya ketika ditemui di lobi bangunan Menara Persekutuan di sini hari ini.

Setiausaha Sekretaiat Calon Bebas, Muhammad Omar. Foto FAREEZ FADZIL, 15 NOVEMBER 2021.

Mengulas mengenai akuan bersumpah, Muhammad menegaskan, empat perkara yang terkandung di dalam akuan bersumpah yang dizahirkan iaitu calon-calon bebas berkenaan tidak akan menyertai mana-mana parti politik, tidak akan menubuhkan parti politik setelah PRN selesai, akan mewujudkan enakmen anti lompat parti dan perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi jika mereka melompat parti.

“Jadi, dengan adanya SD ini rakyat mempunyai kuasa untuk menurunkan YB-YB ini jika mereka tak tunaikan atau melanggar janji mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau mendakwa, struktrur parti sebenarnya mengganggu kestabilan politik kerana arahan perlu dituruti oleh wakil-wakil rakyat.

Katanya, jika arahan itu tidak dipatuhi ia akan menyebabkan wakil-wakil rakyat terbabit berkemungkinan bakal dikenakan tindakan.

“Itu yang menyebabkan kuasa mentadbir negeri dipegang oleh pimpinan parti dan bukannya pemimpin negeri.

“Inilah asasnya yang kita nak selesaikan daripada sekarang. Apabila perjalanan politik dapat bergerak dengan baik maka senang untuk kita merancang apa sahaja perkara berkaitan dengan negeri.

“Jadi, kita serahkan hal ini kepada rakyat Melaka untuk tentukan dalam PRN yang akan berlangsung nanti,” katanya. – MalaysiaGazette