Rodzi Md. Saad

PUTRAJAYA – Tiada sebarang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan baharu pada hari ini.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Saad berkata, bagaimanapun terdapat perlanjutan dan penamatan PKPD.

“Perlanjutan PKPD dilaksanakan di negeri Pahang iaitu membabitkan lokaliti Kampung Orang Asli Satak, Mukim Batu Talam di Raub, Pahang. PKPD di kampung berkenaan sepatutnya tamat pada 16 November 2021.

“Namun ia dilanjutkan dari 17 November sehingga 23 November 2021 selepas meneliti analisa Kementerian Kesihatan mengenai penilaian trend jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya turut membuat keputusan untuk menamatkan PKPD di dua lagi lokaliti di Pahang selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan mengenai situasi semasa Covid-19 di kawasan terbabit.

“Oleh demikian Di Pahang, lokaliti POS Betau, Mukim Ulu Julai, Lipis dan Taman Amalina Lestari di Raub akan ditamatkan PKPD pada Selasa (esok).

“PKPD di kedua-dua lokaliti berkenaan telah dilaksanakan bermula 20 Oktober dan 3 November yang lalu dan kini ditamatkan mengikut jadual asal iaitu 16 November 2021,” katanya. – MalaysiaGazette