Muhammad Habiburrahman memerlukan bantuan RM90,000 bagi menjalani pembedahan jantung di Hospital Pulau Pinang. - Gambar ihsan One Hope Charity.

GEORGE TOWN – Bayi lelaki pramatang berusia 23 hari yang kini ditempatkan Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini memerlukan bantuan bagi menjalani pembedahan jantung.

Muhammad Habiburrahman Muhamad Arshad yang dilahirkan pada 25 Oktober lalu dikejarkan ke HPP dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah sehari selepas dilahirkan susulan mempunyai masalah pernafasan.

Menurut bapa bayi itu, Muhamad Arshad Saib, 44, pembedahan bagi melebarkan saluran darah yang sempit serta masalah pernafasan merupakan rawatan sementara buat anak bongsu daripada empat beradik.

Muhamad Arshad bersama isterinya Raihanah Khalid menunjukkan gambar anak bongsu mereka yang kini memerlukan pembedahan segera. – Gambar ihsan One Hope Charity

Jelasnya, pembedahan susulan bagi menyelamatkan nyawa anaknya perlu dilakukan segera namun mereka sekeluarga tidak mampu menanggung kos pembedahan terbabit.

“Pendapatan saya sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sebulan sebagai peniaga air di tepi jalan di Jitra sekali gus tidak mampu menanggung kos pembedahan Muhammad Habiburrahman.

“Selain itu, semua perbelanjaan urusan keluarga ditanggung penuh oleh saya memandangkan isteri (Raihanah Khalid) tidak bekerja dan perlu menjaga tiga lagi anak kami berusia empat hingga tujuh tahun.

“Kesempitan hidup saya ini bukan saja tidak mampu menanggung kos pembedahan malah kami sekeluarga tidak pernah berkunjung ke Pulau Pinang dan ini merupakan kali pertama saya jejak kaki ke sini bagi urusan pembedahan Muhammad Habiburrahman,” katanya hari ini.

Muhammad Habiburrahman kini di rawat di NICU Hospital Pulau Pinang. – Gambar ihsan One Hope Charity.

Tambah Muhamad Arshad, anaknya kini hidup dengan bergantung penuh pada alat bantuan pernafasan.

Nasib yang dialami keluarga itu turut mendapat perhatian pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity).

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihak keluarga memberi kebenaran kepada mereka untuk mengumpul kos perubatan daripada orang awam, sekali gus menguruskan rawatan Muhammad Habiburrahman dengan pihak hospital.

Kata beliau, pakar jantung mengesahkan bayi berkenaan mempunyai pelbagai masalah yang memerlukan pembedahan dalam tempoh tiga hingga empat minggu ini.

“Kos pembedahan dianggarkan berjumlah RM90,000 diperlukan bagi menyelamatkan nyawa bayi berkenaan.

“Sehubungan itu, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun bank One Hope Charity & Welfare 3201428817 (Public Bank) atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org.

“Selain itu, orang ramai boleh menghubungi talian 016 419 2192, 019 232 2192 atau 04 539 9212 untuk maklumat lanjut,” kata beliau. – MalaysiaGazette