Kerteh FC bersama Yacob Tahir Enterprise Sdn. Bhd. hari ini melancarkan beras Premium Super Import Cap Buah-Buahan.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Kerteh (Kerteh FC) bersama Yacob Tahir Enterprise Sdn. Bhd. hari ini melancarkan beras Premium Super Import Cap Buah-Buahan sebagai salah satu produk terbaharu kelab itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd, Mohamad Adam Suffian Yacob berkata, pihaknya merasa yakin dengan kekuatan jenama Kerteh FC yang merupakan sebuah kelab yang sedang membangun serta mempunyai nilai komersial tambahan di pasaran apatah lagi ia adalah antara pasukan bola sepak komuniti yang sedang mencipta nama ketika ini.

“Sebelum ini pasaran beras cap buah-buahan kami hanyalah tertumpu di daerah Setiu, Besut, Bachok dan Pasir Putih sahaja. Dengan kerjasama bersama Kerteh FC ini, ianya dapat menambahkan lagi keyakinan kami bahawa kerjasama ini akan membawa jenama beras kami ke pasaran yang lebih luas capaiannya selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis pelancaran itu diadakan di ibu pejabat syarikat kelab, KAL Services Sdn. Bhd. di Kerteh, Terengganu setelah perbincangan awal dilakukan sejak Oktober tahun lalu.

Menerusi kerjasama itu, logo, warna rasmi dan elemen-elemen kelab bukan sahaja berada pada plastik bungkusan beras tetapi ianya juga akan turut diletakkan pada kenderaan pengangkutan seperti lori tangki dan kargo syarikat tersebut bagi tujuan
iklan dan komersial.

Logo beras Cap Buah-Buahan pula akan diletakkan pada lengan jersi utama Kerteh FC.

Sementara itu, Presiden Kerteh FC, Mohd. Razeman Mat Nashim berkata, kelab itu perlu memanfaatkan pemasaran melalui medium sukan bola sepak kini telah menjadi satu trend baharu kepada Industri Kecil dan Serdahana (IKS) di dalam negara ketika ini.

“Kami percaya hubungan keusahawanan dan perniagaan dalam industri sukan dapat membuka jalan yang lebih luas kepada mana-mana IKS dalam mengembangkan perniagaan mereka.

“Harapan kami, kerjasama bersama syarikat Yacob Tahir Enterprise ini akan dapat dipertingkatkan lagi pada masa hadapan. Ini kerana syarikat ini bukan sahaja hanya
mengeluarkan beras tetapi ada juga beberapa produk barangan asas yang lain seperti minyak masak, telur, garam dan lain-lain lagi,” katanya.

Bermula hari ini, peminat dan penduduk Kerteh boleh merasai keenakkan Beras Super Premium Cap Buah Buahan di kedai-kedai runcit terpilih sekitar Kerteh, Kemasik dan akan berkembang lebih luas lagi selepas ini di daerah Kemaman dan Dungun.

Untuk rekod syarikat Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd ini telah beroperasi sejak 1981.

Dalam pada itu, Kerteh FC adalah sebuah kelab bola sepak komuniti yang beraksi dalam Liga M4 Malaysia.

Ditubuhkan pada 2018, Kerteh FC telah memenangi gelaran berganda Liga Amatur Terengganu (TAL) dalam penampilan sulung pada tahun 2019.

Dimiliki dan diuruskan oleh KAL Services Sdn Bhd, kelab yang diberi gelaran The Oilers itu berpusat di Kerteh, Kemaman, Terengganu. – MalaysiaGazette