Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Pahang berbangga dengan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) kerana diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atas usaha pihak berkuasa tempatan itu membantu golongan rentan bandar yang terkesan akibat  Covid-19.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha MBK di bawah pimpinan Datuk Bandar, Datuk Hamdan Hussin telah diumumkan pemenang  kategori Reaching And Engaging Vulnerable Groups For Their Care And Protection During Covid-19 Pandemic.

Katanya Kuantan antara tujuh tujuh bandar raya seluruh dunia yang memenangi anugerah pelbagai kategori anjuran WHO itu.

“Ia juga ialah satu daripada dua bandar raya di negara ini selain Kuching yang memenangi anugerah. Kuching memenangi anugerah Pengiktirafan Khas  Bandaraya Sihat,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Tambah Wan Rosdy, kejayaan tersebut susulan usaha MBK melaksanakan projek kemanusiaan dikenali Kuantan Prihatin Ke atas Kumpulan Rentan Bandar yang memberi keutamaan terhadap tiga golongan rentan di bandar raya itu.

“Golongan-golongan rentan ini ialah miskin tegar, golongan sasaran berpendapatan rendah B40 khususnya yang menyewa di sebuah kawasan perumahan serta golongan rentan yang tinggal di pusat bandar.

“Seramai 11,625 orang dalam kalangan mereka dibantu melibatkan  6,679 orang penerima bantuan makanan dan 2,179 orang penerima bantuan kewangan,” katanya.

Selain itu seramai 1,907 orang penerima kemudahan kesihatan, 730 orang penerima pendidikan, 75 orang penerima peluang pekerjaan serta 55 orang penerima penginapan.

MBK dapat menjayakan projek berkenaan hasil kerjasama kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan negeri serta pelbagai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan dan syarikat perniagaan.

Jelas Wan Rosdy, projek khas itu diadakan setelah melalui siri perbincangan dan kajian di lapangan, selain menerima maklum balas wakil-wakil penduduk setempat. – MalaysiaGazette