M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) masih dalam peringkat akhir menyediakan Laporan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum (PGM) 2020.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan menjelaskan, justeru itu, kerangka kenaikan kadar upah tidak dibentangkan dalam Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini.

Menurut beliau, dalam kajian itu, Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara (JTPGN) telah mengadakan perundingan awam dan sesi libat urus melibatkan wakil-wakil majikan, pertubuhan majikan, wakil pekerja, kesatuan sekerja dan orang awam bagi mendapatkan input mengenai impak pelaksanaan gaji minimum ke atas sosioekonomi negara.

Katanya, JTPGN telah pun selesai menjalankan Kajian Impak dan Kajian Semula PGM 2020 dan akan membentangkan hasil dapatan kajian itu serta membuat syor mengenai kadar dan liputan gaji minimum kepada MPGN Khamis ini.

“MPGN sentiasa menggunakan pendekatan seimbang dengan mengambil kira kepentingan pihak majikan, pekerja dan kerajaan sebelum mengemukakan syor untuk pertimbangan dan persetujuan kerajaan.

“Kita mengambil maklum cadangan kadar gaji minimum baharu ditetapkan kepada RM1,500 sebulan seperti dicadangkan Ahli Parlimen pembangkang.

“Berhubung perkara ini, peningkatan gaji minimum sewajarnya dilaksanakan secara berperingkat agar tidak memberi tekanan dan membebankan majikan serta menjejaskan operasi syarikat terutama industri mikro, kecil dan sederhana,” katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu melalui penggulungan perbahasan Bajet 2022 peringkat dasar peringkat Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut M. Saravanan, dalam menetapkan formula gaji minimum, indikator sosioekonomi meliputi kriteria asas seperti Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan gaji penengah serta kriteria pelarasan seperti pertumbuhan produktiviti buruh, kadar pengangguran dan perubahan indeks harga pengguna turut diambilkira.

“Dua indikator ekonomi yang digunapakai dalam kriteria asas iaitu PGK dan gaji penengah adalah indikator yang menentukan keperluan asas pekerja serta keluarga pekerja dan mengukur keupayaan majikan membayar gaji.

“Bagi kriteria pelarasan, CPI mengambarkan perubahan kepada kos sara hidup, manakala pertumbuhan produktiviti buruh digunakan sebagai indikator yang mana gaji wajar ditingkatkan selaras dengan peningkatan produktiviti.

“Selain itu, kadar pengganguran sebenar turut diambilkira sebagai satu kawalan supaya peningkatan gaji tidak mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran,” katanya.

Beliau berkata, cadangan mengenai pelaksanaan gaji minimum berdasarkan sektor juga perlu diteliti dengan lebih mendalam kerana akan mengakibatkan pelaksanaan dan penguatkuasaan yang lebih kompleks.

Katanya, kadar gaji minimum yang berbeza di setiap sektor akan mengakibatkan migrasi pekerja dari sektor dengan kadar gaji minimum rendah ke sektor yang mempunyai kadar gaji minimum lebih tinggi. – MalaysiaGazette