Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Sebanyak 22 premis berkaitan dengan i-Serve Online Mall Sdn. Bhd. dan syarikat sekutunya di Kuala Lumpur dan Selangor kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan, termasuk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013, FSA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Dokumen yang berkaitan juga dirampas bagi membantu siasatan bersama ini.

Tindakan serbuan tersebut juga telah menyebabkan 45 akaun dalam tujuh bank dibekukan serta wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM118.7 juta dirampas.

Bank Negara Malaysia berkata, tindakan penguatkuasaan bersama ini merupakan sebahagian daripada kerjasama antara agensi bagi membanteras jenayah kewangan di Malaysia.

Tindakan penguatkuasaan ini diselaraskan oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai agensi peneraju, bersama-sama dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan CyberSecurity Malaysia.

Orang ramai dinasihati bahawa mana-mana individu yang menerima deposit tanpa lesen dianggap telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 137(1) FSA.

Siasatan terhadap kesalahan pengubahan wang haram juga akan dibuat mengikut peruntukan di bawah AMLA.

Jika disabit kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram semasa kesalahan tersebut dibuat atau denda RM5 juta, mana-mana yang lebih tinggi, dan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun.

Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai diingatkan supaya hanya menyimpan wang dan/atau melabur dengan pihak yang berlesen atau berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

BNM dan Suruhanjaya Sekuriti menggesa orang ramai supaya berhati-hati apabila melabur dengan syarikat-syarikat dalam atau luar negara yang menawarkan pelbagai peluang pelaburan di samping menjanjikan pulangan yang lumayan.

Sekiranya orang ramai mengetahui atau ditawarkan peluang pelaburan seperti ini melalui promosi media sosial, e-mel atau telefon, mereka digalakkan untuk melaporkan perkara ini kepada BNM atau SC melalui:

Bank Negara Malaysia
Tel.: 03-2691 0824 / 2692 6482 / 2698 2810 / 2694 2143
Faks: 03-2698 7467
E-mel: [email protected]

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Tel.: 03-6204 8999 / 03-6204 8777
Faks: 03-6204 8991
E-mel: [email protected] – MalaysiaGazette