Wee Ka Siong

AYER KEROH – Datuk Seri Wee Ka Siong mengecam sikap Lim Guan Eng kerana menuduh Barisan Nasional (BN) memainkan sentimen perkauman dan ekstremis berhubung larangan kerajaan Kedah yang tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri itu.

Presiden MCA itu berkata, apa yang berlaku di Kedah tiada kaitan dengan BN kerana ia terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Katanya, beliau juga tidak faham mengapa BN dituduh ekstremis oleh Setiausaha Agung DAP itu dalam hal tersebut sedangkan ia tiada kaitan langsung dengan soal pentadbiran kerajaan pusat.

“Saya telah mengatakan bahawa apa yang berlaku di Kedah berhubung pemberian lesen premis judi yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri, itu adalah urusan kerajaan negeri Kedah dan bukan parti Barisan Nasional.

“Tapi yang saya hairan dua, tiga hari ni saya pun tak tahu macam mana Lim Guan Eng merayu kononnya BN ini ekstremis, PN (Perikatan Nasional) ni ekstremis.

“Mereka minta pengundi sokong Pakatan Harapan baru jadi masyarakat yang lebih adil,” katanya pada sidang media bersama calon Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di sini hari ini.

Menurut Ka Siong lagi, walaupun lesen perjudian dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, namun kerajaan negeri mempunyai kata putus mengenai pemberian pengoperasian lesen premis itu.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada MCA akan mendapatkan pertemuan dengan menteri besar Kedah berhubung perkara itu, beliau berkata, tumpuan parti kini adalah terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sebelum ini Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan Kedah menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri, berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco minggu lalu bagi mengelak mudarat yang lebih besar kepada penduduk.

Bagi penjualan arak di kedai serbaneka 24 jam, beliau berkata, PBT akan memainkan peranan untuk menangani perkara itu kerana ada jenis-jenis minuman dalam tin mengandungi kadar alkohol tertentu dan tidak dikategorikan sebagai arak. – MalaysiaGazette