Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima buku Rancangan Fizikal Negara Keempat dari Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kiri) pada Majlis Perasmian Sambutan 100 PBM (Profesion Perancang Bandar di Malaysia) peringkat kebangsaan di Hotel Zenith Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 17 NOVEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4) terus mendokong aspirasi pembangunan tiga RFN terdahulu dalam membentuk pelan pembangunan menyeluruh dengan penekanan aspek perancangan keselamatan negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan, RFN4 juga akan menumpukan kepada peningkatan infrastruktur digital, pembangunan pintar, ke arah neutral karbon, jaminan sekuriti makanan dan pembangunan komuniti yang inklusif dan berdaya huni.

Jelas beliau, RFN yang dikaji setiap lima tahun adalah untuk memastikan kesesuaian RFN itu selaras dengan perubahan pesat dalam persekitaran fizikal, ekonomi, sosial dan alam semula jadi.

“Inilah waktu dan ketikanya, kita benar-benar mengamalkan pendekatan keseluruhan kerajaan dan negara dalam merencana pembangunan negara.

“Dokumen dasar ini saya harapkan dapat dihargai dan dijiwai oleh semua pembuat keputusan di setiap kementerian, agensi, kerajaan negeri serta peneraju pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meluangkan masa melawat papan pelan iklan pada Majlis Perasmian Sambutan 100 PBM (Profesion Perancang Bandar di Malaysia) peringkat kebangsaan di Hotel Zenith Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 17 NOVEMBER 2021.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Majlis Sambutan 100 Tahun Profesion Perancang Bandar di Malaysia (100PBM) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Sebelum ini, tiga pelan RFN telah disediakan iaitu RFN Pertama pada tahun 2005, RFN Kedua pada tahun 2010 dan RFN Ketiga pada tahun 2016.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, perancangan Bandar hari ini tidak lagi hanya melihat kepada aspek struktural dan pembangunan infra semata-mata.

Ujar beliau, pandemik Covid-19 telah membuka keperluan penting perancangan bandar untuk melihat sama aspek kemakmuran, mobiliti sosial, daya tahan ekonomi dan
mitigasi kemungkinan berlakunya kawasan bandar sebagai ‘epi-centres’ merebaknya wabak penyakit di masa akan datang.

“Pada waktu ini, di peringkat global, ramai yang mula berbicara mengenai agenda perancangan bandar yang bersifat pandemic-resilient city planning.

“Dalam suasana pasca-pandemik, elemen urban resiliency dalam aspek perumahan dan ruang awam misalnya wajar dijadikan prioriti,” katanya. – MalaysiaGazette