Kerajaan negeri Johor bersetuju memberi peruntukan tetap kepada 56 ADUN di negeri itu untuk memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat negeri itu.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor memperuntukan RM200,000 setahun kepada semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, jumlah itu merupakan tambahan sebanyak RM50,000 daripada peruntukan sedia ada sebanyak RM150,000.

Tambah beliau, peruntukan tambahan itu adalah bagi tujuan perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan lain-lain.

“Jadi bagi memastikan prinsip dan semangat pendemokrasian supaya Yang Berhormat ADUN Johor memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Johor, kerajaan negeri bersetuju semua ADUN akanmenerima peruntukan tetap sebanyak RM200,000 setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan Johor 2022 tersebut, di sini, hari ini.

Hasni berkata, peruntukan tersebit diharap dapat melegakan setiap ADUN dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat. -MalaysiaGazette