M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Media berjaya memainkan peranan membantu rakyat mendepani pandemik secara berkesan walaupun terpaksa mengharungi risiko penyakit maut itu di lapangan dalam menyalurkan berita dengan maklumat terkini dan tepat.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, apa yang berlaku, Covid-19 mengubah gaya hidup di seluruh dunia dengan norma baharu termasuk media yang menggunakan teknologi digital.

“Kita telah menyaksikan bagaimana semua organisasi media di negara ini terus memainkan peranan penting sewaktu negara dilanda pandemik.

“Yang membanggakan, sewaktu Covid-19 pengamal media kita kekal menyampaikan maklumat yang tepat, sahih dan terkini kepada rakyat Malaysia sama ada menerusi televisyen, surat khabar, radio mahu pun portal-portal dalam talian.

“Saya mengakui bahawa anda rakan-rakan media telah banyak membantu Kementerian Sumber Manusia termasuk agensi-agensinya seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam menyampaikan maklumat terkini, terutamanya mengenai bantuan dan inisiatif kerajaan sejak Covid-19 melanda negara pada tahun lalu,” katanya di Majlis Anugerah Media PERKESO 2021 di sini malam ini.

Turut hadir memeriahkan majlis malam tadi Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed dan seluruh barisan pegawai tertinggi KSM.

Saravanan menambah, Malam Anugerah Media PERKESO 2021 yang diadakan julung kali ini bersempena sambutan Jubli Emas 50 tahun PERKESO bertapak.

Menurutnya, PERKESO yang hanya bermula sebagai sebuah jabatan kecil dalam Kementerian Sumber Manusia kini benar-benar dilihat sebagai pelindung kepada Keluarga Malaysia.

Justeru, beliau berharap PERKESO terus menjadi pemangkin dalam merapatkan hubungan antara Kementerian Sumber Manusia dan agensi-agensinya terutama dengan pihak media selain menjadikan Malam Anugerah Media sebagai acara tahunan sebagai mengiktiraf sumbangan golongan berkenaan.

Ahli Parlimen Tapah itu juga mengambil kesempatan di majlis sama merakamkan penghargaan kepada semua pengamal media atas jasa mereka kepada negara.

Saravanan juga menegaskan Covid-19 telah menyebabkan ribuan pekerja daripada pelbagai sektor terjejas teruk akibat daripada langkah-langkah yang diambil untuk membendung penularan Covid-19.

Katanya, antara yang teruk terjejas adalah sektor pelancongan dan perhotelan, sektor penerbangan serta sektor pembinaan.

“Menyedari akan hakikat bahawa rakyat memerlukan sokongan daripada Kerajaan, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk Program Subsidi Upah PERKESO sekaligus telah menyelamatkan syarikat-syarikat Malaysia daripada gulung tikar dan para pekerja daripada kehilangan pekerjaan dan sumber kewangan.

“Selain itu, Skim Insurans Pekerjaan PERKESO yang diperkenalkan pada tahun 2018 juga telah memainkan peranan besar dalam melindungi para pekerja yang diberhentikan kerja, dan menjamin kestabilan kewangan mereka dalam tempoh pandemik.

“Malah Portal Pekerjaan Negara iaitu MYFutureJobs, menjadi tonggak kepada inisiatif-inisiatif Kerajaan yang dilaksanakan PERKESO dalam pakej-pakej rangsangan dan pemulihan Kerajaan.

“Bagi tempoh 1 Januari 2021 sehingga 12 November 2021, seramai 253 ribu 785 orang berjaya ditempatkan ke alam pekerjaan menerusi Portal MYFutureJobs dan penghebahan meluas segala inisiatif kerajaan seperti ini oleh media telah membantu negara bangun semula daripada kesan hebat Covid-19,” ujarnya.

Bukan sekadar itu, pihak media turut memainkan peranan dalam memperjelaskan salah faham dalam kalangan rakyat berhubung penyaluran atau pengurusan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dan profesionalisme media seharusnya diberikan penghargaan sewajarnya, katanya.

“Selain mengiktiraf kerja keras dan komitmen pihak media dalam memberikan liputan yang berkualiti, seimbang dan menyumbang kepada kemakmuran negara dan terus mengekalkan momentum kreativiti anda serta penghasilan berita yang tepat dan memberikan impak positif,” tegasnya.-MalaysiaGazette