Kerja-kerja meleraikan komponen kenderaan buruk ketika Majlis Pelancaran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sebagai pihak berkuasa tempatan pertama melaksanakan kaedah End Live Vehicle di Car Medic Kajang hari ini.

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengorak langkah sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama menggunakan kaedah End Live Vehicle (ELV)  mengatasi masalah lambakan kenderaan buruk.

Yang Dipertuanya, Najmuddin Jemain berkata, ELV merupakan proses mengitar semula kenderaan dengan tahap pematuhan standard yang ketat dan menekankan kelestarian alam sekitar.

Menurut beliau, melalui proses yang sama, setiap kenderaan akan dileraikan secara teratur mengikut kaedah SW422 (piawaian Jabatan Alam Sekitar) dan komponen yang tidak dapat dikitar semula akan dihantar ke Kualiti Alam atau Pentas Flora untuk proses rawatan lanjut.

“Pada masa ini hanya sebuah syarikat sahaja yang telah dilesenkan dan pihak MPKj bakal menjalinkan projek rintis kerjasama pintar bersama Car Medic Sdn Bhd yang dijangka bermula pada 1 Disember ini.

“Melalui kerjasama pintar ini, Car Medic akan menunda semua kenderaan buruk iaitu kereta, bas, lori, kenderaan perdagangan dan kenderaan berat yang telah dinotis oleh MPKj ke depoh simpanan kenderaan buruk di Bandar Baru Bangi.

“Selepas selesai proses lucut hak dan perundangan maka kenderaan ini ditunda semula ke depoh Car Medic untuk proses ELV,” katanya pada majlis pelancaran MPKj sebagai PBT pertama melaksanakan kaedah ELV di Car Medic Kajang hari ini.

Mengulas lanjut, Najmuddin berkata, sejumlah 5, 000 buah kenderaan telah diberi notis sebelum ini dan MPKj menjangkakan masalah berkaitan lambakan kenderaan buruk dapat diselesaikan.

Jelasnya, ketika ini keupayaan dan kemampuan untuk menunda kenderaan buruk sedia ada adalah terhad selain kawasan untuk meletak kenderaan yang tidak luas.

“MPKj mempunyai tiga buah trak tunda konvensional dengan hanya 40 hingga 50 kenderaan sahaja dapat ditunda dalam tempoh sebulan. Kebanyakan kenderaan itu juga ditinggalkan di kawasan belukar dan taman perumahan yang menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.

“Pihak Car Medic mempunyai keupayaan untuk menyediakan lori kren dan kerja-kerja penundaan kenderaan buruk akan menjadi lebih mudah dan sistematik. Aduan yang melibatkan kenderaan berat seperti bas, lori dan kenderaan perdagangan lain ditunda tanpa melibatkan sebarang kos,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kaedah ELV lebih mesra alam dan berbeza dengan kaedah pelupusan yang pernah dijalankan sebelum ini.

Beliau juga yakin kaedah ELV akan menjadi pemangkin untuk penyelesaian lambakan kenderan buruk dan boleh diguna pakai di oleh PBT di seluruh negara. – MalaysiaGazette