Najib kesal dengan taktik sesetengah pihak yang menggunakan skrip lama mengenainya dan keluarga untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.-Gambar dari FB Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kesal dengan taktik sesetengah pihak yang menggunakan skrip lama mengenainya dan keluarga untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Saya sekali lagi dijadikan sasaran utama propaganda-propaganda pihak-pihak lawan. Cerita permohonan saya untuk diberi kediaman di bawah akta kerajaan yang saya buat pada tahun 2018 selepas PRU-14 tiba-tiba dikeluarkan menjelang hari mengundi PRN Melaka.

“Tiba-tiba diberi nilai RM100 juta. Sedangkan ianya tanah kerajaan sedia ada yang diberi kepada saya untuk saya pilih di bawah akta kerajaan. Bukan suruh kerajaan belanja untuk beli bagi saya.

“Saya dan isteri saya dijadikan bahan untuk Maharaja Lawak Mega. Gambar edit isteri saya pula dijadikan bahan squid game DAP. Dan banyak-banyak lagi,” katanya dalam hantaran di media sosialnya malam ini.

Menurut Najib, beliau bukan calon di PRN Melaka atau ada apa-apa jawatan tertinggi dalam UMNO.

“Apa kena mengena benci saya dengan PRN Melaka? Yang pilihan raya ialah negeri Melaka tapi yang diserang, saya pula? Apa yang pihak-pihak lawan fikir warga Melaka akan dapat sekiranya mereka benci saya? Apa yang Rakyat Malaysia telah dapat dengan membenci saya selepas PRU-14?

“Ekonomi lebih bagus? Aset-aset negara bertambah? Dividen tabung-tabung simpanan menaik? Kesejahteraan hidup Rakyat bertambah baik? Negara lebih stabil dan terancang? Pasaran saham lebih baik? Pelaburan asing menaik? Janji-janji manifesto ditepati? Apa sebenarnya?” soalnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bukan saya minta hadiah tapi kediaman seperti bekas PM – Najib