Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed bercakap pada sidang media khas mengenai isu jenayah semasa di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 NOVEMBER 2021.

SEPANG – Anggota polis yang disyaki memukul seorang ejen syarikat laman web mencari pasangan kerana tidak menemui calon jodah telah dipindahkan ke bahagian pentadbiran, berkuatkuasa serta merta.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, anggota polis terlibat dalam insiden itu merupakan seorang detektif berpangkat korperal berusia 35 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Saya mahu betulkan sedikit fakta berkaitan yang memaklumkan sebelum ini bahawa individu berkenaan adalah seorang pegawai kanan polis tetapi sebenarnya dia adalah detektif koperal.

“Selain siasatan dari segi perlakuan jenayah yang kini sedang dikendalikan JSJ IPK KL (Jabatan Siasatan jenayah Ibu Pejabat Kontijen Kuala Lumpur), siasatan dari segi tatatertib turut dijalankan terhadap anggota terbabit oleh kontinjen kami (IPK Selangor),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Dalam kejadian dalam lif di sebuah pusat perniagaan di Jalan 2, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, wanita yang dipukul di kepala itu mengalami kecederaan.

Sebelum ini, siasatan Polis Cheras mendapati suspek berusia 35 tahun kecewa kerana gagal mencari calon jodoh di sebuah laman sesawang ‘matrimonial’ menyebabkan beliau berang dan pergi  ke pejabat mangsa yang merupakan pegawai khidmat pelanggan dan memukulnya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara suspek dan wanita itu kerana suspek sudah membayar RM2,500 kepada mangsa namun tiada calon jodoh ditemui dalam masa enam bulan. – MalaysiaGazette