KUALA LUMPUR – Gara-gara naik angin kerana kecewa dalam pencarian jodoh di laman web mencari jodoh, seorang penjawat awam bertindak memukul wanita yang dipercayai ejen syarikat tersebut.

Kejadian dilaporkan berlaku di dalam lif pejabat wanita berkenaan yang terletak di sebuah Pusat Perniagaan di Jalan 2, Chan Sow Lin, Cheras di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pada 16 November lalu kira-kira pukul 10.30 pagi, suspek telah berjumpa dengan mangsa yang berusia 34 tahun yang bekerja sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan.

“Suspek yang berusia 35 tahun telah membawa pengadu masuk ke dalam lif untuk turun ke bawah, suspek telah memukul pengadu berkali-kali menggunakan tangan di bahagian kepala.

“Pengadu mengalami pendarahan di kepala dan telah mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa wanita berusia 34 tahun yang tercedera di kepala selepas dipukul oleh penjawat awam yang kecewa tak dapat pasangan dalam laman web cari jodoh dalam kejadian di Jalan 2 Chan Sow Lin.

Tambah Muhammad Idzam, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara pengadu dan suspek yang mana suspek telah membayar wang sebanyak RM2,500 kepada pengadu untuk mencari calon jodoh di laman tersebut.

Bagaimanapun tiada calon ditemui dalam masa enam bulanĀ  sebelum suspek telah menyalahkan pengadu dalam hal ini dan bertindak menyerang pengadu.

“Polis telah mengenal pasti suspek lelaki seorang anggota penjawat awam yang dipercayai terlibat dalam video menunjukkan seorang wanita dipukul di dalam lif yang tular di media sosial sejak semalam,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan orang dan anggota polis berkenaan akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette