Seorang bapa membaca doa sejurus selesai urusan pengebumian anaknya yang meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19 sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam As-Sobirin AU4, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 55 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan setakat pukul 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data yang dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di laman sesawang COVIDNOW, jumlah kumulatif angka korban akibat wabak tersebut kini mencecah 29,892.

Daripada jumlah kematian yang direkodkan, sebanyak sembilan kes merupakan kematian di luar hospital (BID).

Sarawak mencatatkan bilangan kematian tertinggi semalam dengan 10 kes disusuli dengan Terengganu sebanyak lapan kematian, Kedah (7), Kelantan (6), Selangor (6) dan lima kematian dilaporkan di Johor.

Sementara Perak mencatatkan empat kematian diikuti dua kes masing-masing di Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur serta satu kes di Pahang, Perlis serta Sabah.

Tiada kematian dilaporkan di Labuan dan Putrajaya setakat tengah malam tadi.

Dalam perkembangan lain, laman sesawang berkenaan turut melaporkan pertambahan sebanyak 565 kes aktif dengan jumlah keseluruhan sebanyak 67,358 kes.

COVIDNOW turut berkongsi angka individu yang menjalani kuarantin di rumah iaitu seramai 52,820 orang atau bersamaan 78.4 peratus manakala seramai 8,181 orang (12.1 peratus) berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. – MalaysiaGazette