Dr. Mahathir mempertikaikan pemberian 'hadiah' oleh kerajaan Persekutuan kepada Najib.

PERBAHASAN Rang Undang-Undang (RUU) Bajet 2022 selama lima hari bermula 15 November lalu berakhir petang semalam.

Dewan Rakyat meluluskan RUU itu dengan suara majoriti pada kira-kira jam 6 petang, walaupun ada permintaan dari beberapa Ahli Parlimen pembangkang mahu undi belah bahagi diadakan.

Selepas membuat perkiraan, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memberitahu, pembangkang kekurangan 15 sokongan atau undian.

Sepanjang perbahasan itu, hampir semua Ahli Parlimen dari kerajaan pembangkang mengambil bahagian.

Ada pro dan kontrak daripada pihak wakil rakyat masing-masing membahaskan jumlah bajet lebih RM300 bilion yang diperuntukan untuk perbelanjaan pembangunan dan mengurus sepanjang tahun depan.

Bahkan, menteri di kementerian masing-masing juga menyatakan puas hati dengan peruntukan diterima, yang menyaksikan ada pertambahan berikutan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Antara topik hangat yang menjadi tumpuan pembangkang ialah isu Unit Transformasi Malaysia India Malaysia (MITRA) bawah Kementerian Perpaduan Negara dan ‘hadiah’ kerajaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Seperti biasa, isu MITRA dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang mahu ia dibahaskan dalam Dewan Rakyat untuk mencari kesalahan pemimpin MIC, yang dikatakan menyalahgunakan peruntukan itu.

Namun, isu itu tidak diberi laluan oleh Speaker mahupun Timbalan Speaker selepas menerima alasan daripada Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat.

Alasan itu menimbulkan rasa tidak puas hati RSN Rayer dan beberapa wakil rakyat yang mewakili masyarakat India, yang berterusan mendesak agar dua penama yang dikatakan terlibat dalam penyelewengan peruntukan itu diheret ke muka pengadilan.

Ahli Parlimen Jelutong acap kali menyebut nama Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Setiausaha Agung MIC, Datuk M. Asojan sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam isu menyalahgunakan peruntukan MITRA.

Selain MITRA, isu ‘hadiah’ kerajaan Persekutuan kepada Najib turut menghangatkan sesi penggulungan petang semalam, dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertikaikan kelulusan peruntukan berjumlah RM100 juta.

Ketika sesi akhir penggulungan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Ahli Parlimen Langkawi itu bangun meminta laluan untuk mencelah.

Beliau membangkitkan rasa tidak puas hati kerajaan kerana sepanjang perbahasan Bajet 2022, tidak ada item ‘hadiah’ kepada Najib diberitahu kepada Dewan Rakyat untuk dibahas dan mendapat kelulusan Ahli-ahli Parlimen.

Beliau mendakwa, menunggu isu itu dikemukakan sepanjang lima hari sesi penggulungan, namun tidak dibangkitkan dan mengambil kesempatan itu untuk bertanya.

Katanya, bagaimana Kementerian Kewangan boleh memberi hadiah dalam bentuk sebidang tanah dan sebuah rumah berjumlah keseluruhannya RM100 juta kepada Najib, sedangkan bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah oleh mahkamah.

Tengku Zafrul ketika menjawab isu yang dibangkitkan itu berkata, kelulusan pemberian hartanah itu dibuat oleh Jabatan Perdana Menteri, bukan bawah bidang kuasa Menteri Kewangan.

Jawaban itu tidak menepati dengan kehendak beberapa Ahli Parlimen pembangkang, yang kemudian menghangatkan Dewan Rakyat agar kerajaan Persekutuan memberi penjelasan lebih terperinci bagaimana permohonan Najib boleh diluluskan.

Isu ini dibangkitkan ketika tempoh kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berbaki dua hari lagi, yang menyaksikan pertandingan antara tiga gabungan parti gergasi iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PN).

Najib pula dalam kenyataan balasnya selepas ‘diserang’ dilaporkan berkata, beliau hairan kenapa pemberian rumah yang kononnya bernilai RM100 juta dipertikaikan oleh Dr. Mahathir.

Gambar pejabat Najib dan kediaman Dr. Mahathir yang dimuat naik oleh media sosial Najib.

“Bukan saya minta hadiah RM100 juta dari kerajaan atau suruh kerajaan belanja untuk beli tanah, tetapi kediaman seperti itu diberi kepada kesemua bekas-bekas Perdana Menteri.

“Nilai RM100 juta itu diberi portal pro-PN MalaysiaNow dan cerita dikeluarkan sempena PRN Melaka walaupun permohonan saya dibuat pada tahun 2018 selepas PRU-14.

“Bukan kita tak tahu kenapa. Malah pejabat bekas Perdana Menteri saya cuma satu banglo disewa di Bukit Pantai. Bukan kompleks besar macam perdana leadership foundation Mahathir,” katanya.

Di akhir kenyataan itu, beliau secara menyindir berkata, anak-anaknya bukan pun billionaire seperti anak-anak Dr. Mahathir.

Bab paling menarik sesi penggulungan perbahasan Bajet 2022 itu ialah ketika giliran Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Beliau hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan 11 Ahli Parlimen berikutan sembilan lagi tidak hadir dan akan diberikan jawapan secara bertulis.

Ketidakhadiran ramai Ahli Parlimen sepanjang sidang Dewan Rakyat yang bermula dari 25 Oktober lalu disebabkan pertindihan hari dengan PRN Melaka. Ramai dalam kalangan mereka berada di negeri itu untuk berkempen.

Namun, selesai PRN Melaka esok, sidang Parlimen yang berakhir 16 November ini akan kembali meriah selepas ditangguhkan sehingga jam 10 pagi Isnin ini. – MalaysiaGazette