Wan Junaidi Tuanku Jaafar

PUTRAJAYA – Kabinet hari ini memutuskan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi meneliti garis panduan dan syarat permohonan anugerah rumah kerajaan untuk bekas Perdana Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ini susulan permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan sebidang tanah untuk membina rumah selaras dengan peruntukan di bawah Akta 237 Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

Beliau berkata, Kabinet secara prinsip bersetuju meluluskan permohonan Najib atas alasan itu adalah hak beliau di bawah undang-undang.

“Bagaimanapun, saya perlu tegaskan bahawa keputusan ini belum muktamad dan tertakluk kepada pertimbangan lanjut serta kelulusan akhir kerajaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, peranan jawatankuasa itu adalah untuk meneliti garis panduan yang dicadangkan untuk memenuhi permohonan tersebut termasuk kadar, syarat dan had maksimum atau kuantum bagi penyediaan tanah dan rumah bekas Perdana Menteri di bawah Jadual Saraan Bekas Perdana Menteri untuk dilaksanakan pada masa akan datang.

Semalam, berlaku kekecohan pada sidang Dewan Rakyat selepas Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan bahawa kerajaan menimbang untuk menganugerahkan sebidang tanah dan rumah bernilai RM100 juta kepada Najib. – MalaysiaGazette