Alexander Schallenberg. foto EPA

VIENNA – Beberapa hari selepas Austria mengenakan sekatan pergerakan terhadap mereka yang tidak divaksinasi, hari ini negara ini mengumumkan perintah pergerakan sepenuhnya bermula pada hari Isnin.

Canselor Alexander Schallenberg berkata, sekatan pergerakan ini berlangsung maksimum 20 hari dan akan ada keperluan undang-undang untuk mendapatkan vaksin mulai 1 Februari 2022.

Tindakan ini dilakukan susulan peningkatan kes Covid-19.

Austria merupakan antara negara yang merekodkan tahap vaksinasi terendah di Eropah Barat.

Banyak negara Eropah lain turut mengenakan sekatan apabila kes meningkat.

“Kami tidak mahu gelombang kelima,” kata Schallenberg selepas bertemu sembilan gabenor di wilayah Austria di sebuah pusat peranginan di barat negara itu.

Sebelum ini, terdapat konsensus untuk mengelakkan vaksinasi mandatori, kata canselor.

Bagaimanapun, terlalu ramai orang telah dihasut untuk tidak menerima suntikan vaksin kerana “terlalu banyak kuasa politik, menentang vaksinasi dengan berita palsu”, tambahnya.

Langkah-langkah itu masih belum dimuktamadkan.

Angka terkini menunjukkan kadar jangkitan meningkat kepada 990, 7 kes bagi setiap 100,000 orang pada minggu lalu dan Menteri Kesihatan, Wolfgang Mückstein mengenakan sekatan pergerakan sebagai adalah “pilihan terakhir”.

Austria merekodkan 15,809 kes dalam tempoh 24 jam yang lalu, dengan populasi di bawah sembilan juta.

Di bawah langkah itu, warga Austria akan diminta bekerja dari rumah, kedai yang tidak penting akan ditutup tetapi sekolah akan tetap dibuka untuk kanak-kanak yang memerlukan pembelajaran secara bersemuka.

Ia akan diteruskan sehingga 12 Disember, tetapi akan dinilai semula selepas 10 hari. – BBC