GEORGE TOWN – Lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan memperdayakan pembeli konsol permainan PlayStation 5 (PS5) didapati menggunakan akaun bank ibunya bagi melakukan urus niaga pra tempahan konsol tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Asisten Komisioner Mohd Asmadi Yusoff berkata, suspek berusia 23 tahun yang bergerak sendirian itu turut menggunakan akaun banknya sebagai transaksi bayaran pra tempahan konsol permainan video itu.

Jelas beliau, hasil siasatan juga mendapati suspek menggunakan platform media sosial Instagram dan Facebook dengan nama ‘Gila Gaming 666’ untuk menarik orang ramai melakukan tempahan.

Mohd Asmadi.

“Suspek janji mampu mendapatkan PS5 itu lebih awal daripada pasaran sedia ada dengan harga RM2,800 dan bagi menyakinkan mangsa beberapa pelanggan awal sudah menerima tempahan mereka.

“Ada pelanggan yang menempah semula tidak dapat barang itu dan sebahagian pelanggan pula tertipu dengan helah mangsa mampu dapatkan PS5 dengan segera.

“Bagi negeri Pulau Pinang, sebanyak lapan laporan dibuat melibatkan kerugian RM28,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Asmadi berkata, hasil siasatan polis juga mendapati suspek aktif dalam penjualan konsol permainan video sejak dua tahun lalu.

“Suspek memperoleh bekalan konsol permainan itu dari pembekal lain untuk dijual kepada pembelinya dan sebelum ini dia menjual PS4 namun tiada masalah dikenal pasti.

“Pihak polis juga telah memanggil pembekal yang didakwa suspek mendapatkan bekalan konsol permainan itu untuk merakamkan keterangan.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan memandangkan ia melibatkan laporan di negeri lain dan suspek kini sedang direman di Kedah bagi membantu siasatan kes yang sama,” ujar beliau.

Media tempatan sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditahan selepas memperdaya hampir 150 pembeli pratempahan konsol permainan PlayStation 5 (PS5) sehingga kerugian kira-kira RM500,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, lelaki berusia 23 itu ditahan di Pulau Pinang bagi membantu siasatan kes penipuan berkenaan.

Suspek ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 13 November lalu. – MalaysiaGazette