Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Dakwaan yang menyatakan projek Forest City merupakan projek yang gagal adalah tidak benar dan merupakan fitnah yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Forest City merupakan sebuah projek yang sedang dibangunkan secara mampan dan berterusan.

Projek ini sudah pun menyumbang pendapatan sebanyak RM630 juta kepada Kerajaan Negeri Johor dalam bentuk bayaran cukai, dividen, dan sebagainya.

Malah, projek ini juga telah mencipta pekerjaan untuk 1,200 rakyat tempatan dan menganugerahkan kontrak kerja bernilai RM1.4 bilion kepada 150 syarikat kontraktor tempatan.

”Ini secara langsung telah membuka peluang untuk memajukan industri pembinaan di Johor untuk jangka masa panjang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau menambah, pada akhir bulan lepas, Forest City juga telah menerima anugerah Global Model of Low-Carbon City Planning and Design Award dari Sustainable Cities and Human Settlements Award (SCAHSA), menunjukkan projek ini tidak gagal, sebaliknya menarik perhatian di persada dunia dengan kemajuan teknologinya.

Jelasnya, cabaran juga dihadapi dengan wabak Covid-19 yang bukan sahaja melanda Johor, malah seluruh dunia.

Situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan juga telah menyebabkan kadar penjualan yang kurang, tambah beliau.

Selain itu, ujarnya, dasar Kerajaan Persekutuan yang tidak konsisten turut menyebabkan keyakinan pelabur terhadap negara terjejas.

”Saya berharap dengan polisi yang lebih stabil pada masa akan datang dan apabila situasi ekonomi sudah bertambah baik, lebih ramai pelabur akan datang ke negara ini dan melabur di sini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette