Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Dialog NGO Bersama Negarawan dan Memorandum Persefahaman Reset Malaysia di Marriot Hotel Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 20 NOVEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat orang Melayu masih tidak cekap mencari duit dan perkara itu menyebabkan mereka masih dibelenggu kemiskinan.

Bekas perdana menteri itu berkata, orang Melayu perlu mempunyai kekayaan supaya dapat melakukan lebih banyak amal kebajikan dengan menderma dan membayar zakat.

“Saya berpendapat bahawa kita perlu mengkayakan negara kita, orang Melayu perlu ada kekayaan kerana bila kita kaya baru boleh kita bayar zakat serta derma tetapi kalau kita semua miskin di mana kita nak dapat derma.

“Sebab itu menuntut kekayaan di dunia ini sama penting atau kadang-kadang lebih penting daripada tuntutan kita di akhirat.

“Kita mesti kaya dan ada cara untuk jadi kaya kerana saya lihat di negara kita ini, malangnya orang Melayu tak begitu cekap cari duit sebab itu sehingga sekarang ini mereka miskin dan tak boleh bagi derma sebaliknya orang-orang Cina mereka kaya dan biasa mereka memberi derma,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Bersama Negarawan dan Memorandum Persefahaman Reset Malaysia di Hotel Marriot, hari ini.

Terdahulu, menerusi sesi dialog berkenaan, sebuah NGO dari Perak berkongsi tentang kepayahan mereka dalam mencari dana serta mendapatkan kerjasama daripada pihak-pihak tertentu untuk menjalankan aktiviti kebajikan di negeri tersebut dan meminta pandangan daripada Ahli Parlimen Langkawi itu berkaitan perkara yang dihadapi.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, jika sesebuah pertubuhan itu diasaskan dengan tujuan kebajikan maka mereka perlu bijak dalam perihal mencari dana atau sumbangan.

“Kita buat satu NGO atau badan kebajikan tetapi kita perlu wang untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab kebajikan kita, kita perlu wang untuk beri kepada orang yang memerlukannya tetapi wang itu kita sendiri tidak ada dan perlu minta derma dari pihak tertentu dan kadang-kadang kita dapat, kadang-kadang tak dapat.

“Jadi bila kita buat NGO untuk nak tolong orang dan kita tak ada duit untuk nak bagi apa-apa, kita harap kita dapat kutip derma dari orang yang mampu tapi orang yang mampu memberi derma ini dia juga ada bajet-bajet mereka.

“Kalau mereka tak nak beri kita tak boleh paksa, kita boleh pujuk tapi tak boleh paksa,” katanya. – MalaysiaGazette