Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Ali bercakap kepada media di Pusat Daerah Mengundi (PDM) SMK Telok Mas, Melaka.

MELAKA – Proses pengundian di semua 217 pusat mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sehingga jam 12 tengahari berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Ali berkata, pemantauan polis mendapati semua pengundi, jentera dan penyokong parti mematuhi norma baharu dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Apa yang paling baik sekali proses PRN Melaka ini, langsung tiada barong-barong panas berhampiran pusat mengundi dibuka yang boleh mencetuskan provokasi.

“Ini menunjukkan pengundi dan parti-parti politik kini semakin matang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga profesional dan tahniah kepada orang Melaka kerana kematangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan di Pusat Mengundi SMK Telok Mas di sini hari ini.

Melaka mempertaruhkan 28 kerusi DUN dan 112 calon bertanding masing-masing mewakili Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pakatan Harapan, Bebas, Putra dan Iman. – MalaysiaGazette