Gambar hiasan

COVID-19 adalah wabak semasa yang melanda dunia oleh coronavirus SARS-CoV-2. Virus yang merebak melalui titisan cecair daripada mulut atau hidung apabila memasuki saluran pernafasan mengakibatkan radang paru-paru. Virus yang muncul
pada Disember 2019 di Wuhan, China ini telah tersebar ke seluruh dunia sebagai pandemik global.

Walaupun sekurang-kurangnya tiga vaksin (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac) telah mendapat kelulusan di negara-negara Barat, persoalan tetap ada untuk jangka masa panjang mengenai keberkesanan vaksin, sama ada mutasi virus boleh menjadikan vaksin tidak berkesan, dan sama ada vaksin akan sama berkesan
untuk semua peringkat umur. Oleh itu, kaedah perubatan tradisional juga boleh dilihat sebagai satu alternatif baharu dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Ubatan tradisional dari tumbuhan telah digunakan sejak 60,000 tahun yang lalu dan banyak digunakan dalam perubatan tradisional melayu, ayurvedik dan China. Ia berperanan dalam merawat penyakit, meningkatkan imunisasi dan kecantikan.
Ubatan tradisional ini juga menyumbang kepada keberhasilannya ubatan moden yang digunakan kini selepas kajian secara saintifik dan klinikal dilakukan.

Penggunaan ubat-ubatan dari produk semula jadi telah berkembang dengan pesat serta mendapat tempat oleh pemain-pemain industri sejak akhir-akhir ini. Antaranya ialah ekstrak minyak pati daripada tumbuhan. Minyak pati telah lama
diketahui mempunyai sifat anti-radang, antioksidan, imunomodulator dan antivirus dan berpotensi menentang Covid-19.

Pemerhatian dari perubatan tradisional mendedahkan bahawa banyak minyak pati yang berasal dari tumbuhan boleh
berkesan dalam pencegahan dan rawatan jangkitan saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus.

Minyak pati ialah ekstrak tumbuh-tumbuhan yang pekat serta aromatik yang diperoleh melalui penyulingan stim. Bahagian tumbuh-tumbuhan di mana minyak pati boleh diperoleh termasuklah bunga, buah, daun, biji, akar atau keseluruhan
tumbuhan. Komposisi kimia minyak pati tumbuhan adalah berbeza mengikut spesies, bahagian tumbuhan, peringkat kematangan, taburan geografi serta keadaan persekitaran.

Ia terdiri daripada sebatian kimia semula jadi dari kumpulan
terpena, terpenoid, ester, aldehid, keton, asid karboksilik dan sulfur. Minyak pati biasanya digunakan di dalam industri kosmetik terutama bagi penghasilan minyak wangi, penyegar udara, bahan cucian dan mandian, aromaterapi, minyak urut, balm dan sebagainya.

Antara tumbuhan kegunaan harian yang berpotensi untuk menghasilkan minyak pati aromaterapi yang berkualiti adalah
serai wangi, limau purut, bunga kenanga, halia, lengkuas, pudina dan inai. Minyak pati juga berguna di dalam industri makanan sebagai bahan perisa dan bauan seperti minyak pudina di dalam gula-gula, minyak cengkih dan kayu manis di dalam minuman ringan.

Minyak pati juga mempunyai sifat terapeutik, tetapi tidak semua minyak pati bertindak dengan cara yang sama. Contohnya, sesetengah minyak pati berfungsi dalam pelbagai cara dan menghasilkan tindakbalas yang cepat, manakala selainnya
berfungsi lebih khusus dan bertindak perlahan.

Perbezaan ini ditentukan oleh komponen kimia yang terdapat dalam minyak pati, dos yang digunakan dan kaedah
penggunaan. Selain itu, minyak pati boleh berfungsi secara sinergi antara satu sama lain dan boleh melawan lebih daripada satu aspek kesihatan pada masa yang sama.

Fortune Business Insight melaporkan bahawa pasaran minyak pati dunia dijangka akan mencecah AS$8.25 billion menjelang 2028 sambil mempamerkan CAGR sebanyak 9.57%.

Permintaan minyak pati semasa musim pandemik meningkat kerana kesedaran orang ramai dalam fungsi minyak pati yang membantu sistem imunisasi di samping membantu terapi minda.
Kini, keberkesanan minyak pati sebagai antivirus semula jadi telah dibuktikan dalam beberapa penyelidikan di peringkat antarabangsa.

Beberapa komponen kimia dalam minyak pati didapati berjaya menghalang replikasi virus dalam kajian klinikal. Namun begitu, mekanisma yang terlibat dalam minyak pati masih belum dapat
dibuktikan.

Sebaliknya, terdapat beberapa minyak pati menunjukkan keputusan yang positif terhadap antimikrob dan antibakteria.
Minyak pati telah dikaji selama berabad-abad dan diketahui mempunyai pelbagai sifat farmaseutikal.

Kajian terkini menunjukkan bahawa tumbuhan aromatik
dan minyak pati sangat aktif dalam melawan pelbagai jenis virus. Sebagai contoh, potensi antivirus minyak pati pokok teh (Melaleuca cajupati) telah menunjukkan hasil yang positif dalam kajian terhadap virus. Terdapat penghambatan pertumbuhan
herpes simplex virus, yang menyebabkan herpes pada manusia, dan kadar keberkesanannya bergantung pada fasa kitaran replikasi virus apabila minyak pati digunakan.

Selain itu, minyak pati cengkih (Syzygium aromaticum) adalah salah satu herba yang digunakan secara meluas dalam pemakanan dan perubatan. Bunga cengkih kaya dengan sebatian fenolik seperti eugenol dan asid galik yang berpotensi dalam
kosmetik dan juga pertanian.

Eugenol telah terbukti mempunyai sifat antiradang dan
telah berpotensi untuk melindungi paru-paru daripada kecederaan akut yang disebabkan oleh lipopolysaccharide. Dalam pada itu, komponen aktif dari minyak pati bay leaf (Laurus nobilis) iaitu β-osimen, α/β-pinene, dan 1,8-cineole telah menunjukkan potensi sebagai agen terapeutik terhadap Covid-19 melalui penghambatan protease utama (Mpro) virus.

Terbaharu, kumpulan penyelidik dari University of Crete in Heraklion, Greece telah membuat ujikaji potensi gabungan tiga minyak pati iaitu thyme (Thymbra capitata), Greek sage (Salvia fruticosa), dan Cretan dittany (Origanum dictamnus), dan memberikan keputusan yang positif dalam sel Vero E6.

Bagaimanapun, dengan sifat sedia ada pada minyak pati aromaterapi ini, ia menjadi pilihan rawatan kesihatan yang mampu meningkatkan daya imunisasi melalui cara yang mudah dan berkesan namun tidak membahayakan pengguna.

Namun begitu, setakat ini, data mengenai minyak pati adalah sangat terhad dan lebih banyak kajian in vitro dan in vivo diperlukan untuk meneroka potensi minyak pati dan komponennya dalam melawan Covid-19.

Dalam hal ini, kajian in vitro dan in vivo perlu dijalankan dengan teliti untuk mewujudkan dos selamat dan keberkesanan klinikal minyak pati terhadap Covid-19. Ia boleh dilihat melalui pelbagai sifat farmakologi penting minyak pati, pendekatan gabungan di mana minyak pati dan ubat sintetik terhadap sifat farmakokinetik dan farmakodinamik dalam melawan virus ini serta komplikasi yang berkaitan.

Hasil kajian ini setidaknya boleh memberikan gambaran yang lebih baik mengenai potensi minyak pati dalam memberikan penyelesaian melalui agen semula jadi yang aktif secara terapeutik.

Kesimpulannya, penyelidikan yang inovatif terhadap potensi minyak pati terhadap antivirus perlulah berdasarkan pengetahuan etnofarmakologi terdahulu.

Selain itu, produk farmaseutikal harus melepasi ujian ketoksikan, ujian klinikal dan kelulusan pihak berkuasa sebelum digunakan. Kajian yang berbentuk insilico seperti permodelan bahan aktif dalam minyak pati juga dapat memberi gambaran awal
keupayaan bahan aktif dalam merencatkan aktiviti virus. Ia pasti membuka satu peluang untuk mencari solusi bagi Covid-19.

 

Oleh: Dr. Wan Mohd Nuzul Hakimi Wan Salleh
Pensyarah Kanan di Jabatan Kimia,
Fakulti Sains dan Matematik,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Dr. Nurulsaidah Abdul Rahim
Pensyarah Kanan di Jabatan Kimia,
Fakulti Sains dan Matematik,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)