Warga emas tiba awal untuk mengundi di SK Ramuan China Besar, Melaka.

MELAKA – Walaupun mungkin berdepan dengan pelbagai cabaran termasuklah penularan Covid-19 dan garis panduan ketat dalam proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun masyarakat di sini masih kelihatan teruja mengundi.

Jangkaan segelintir pihak bahawa pengundi di negeri ini berkemungkinan tidak akan keluar mengundi meleset sama sekali apabila seawal 7 pagi sudah ramai tercegat di luar pusat undi.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Masjid Tanah hari ini mendapati, rata-rata warga emas malah ramai juga berkerusi roda atas pelbagai sebab bersemangat hadir menjalankan tanggungjawab mereka.

Kebanyakan mereka hadir bersama ahli keluarga atau kenalan untuk membantu mereka mengundi.

Seorang pesakit kanser turut mengalirkan air mata menceritakan apa yang dilaluinya kepada salah seorang calon yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan kemudian ditenangkan oleh beliau.

Calon Dun Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati menenangkan seorang pesakit kronik kanser.
Calon Dun Tanjung Bidara, Mas Ermieyati Samsudin menenangkan seorang pesakit kronik kanser.

Kata wanita itu, walaupun sakit dan tidak berdaya dia masih mahu mengundi.

Para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula membantu pengundi-pengundi warga emas dengan menyorong kerusi roda sambilmengingatkan para pengundi untuk mematuhi SOP.

Turut kelihatan beberapa pekerja kesihatan yang melakukan sanitasi setiap beberapa minit bagi memastikan tiada penularan Covid-19 di kawasan itu.

Menurut seorang warga emas, Selamah Ismail, 78, dia menggunakan kerusi roda kerana tidak mampu berjalan kerana sakit tua namun itu tidak menghalangnya untuk sampai awal mengundi calon pilihannya.

“Saya sudah mula mengundi dari zaman saya muda lagi. Undi itu satu tanggungjawab walau apa pun senario  politik pada masa ini.

“Sudah banyak pilihan raya yang saya tengok, selagi boleh saya akan keluar mengundi jalankan amanah ini, ini adalah hak kita untuk memilih calon pemimpin negeri kita.

“Usia atau sakit tidak sepatutnya menjadi penghalang daripada mengundi, saya juga ingin nasihatkan mana-mana yang enggan mengundi, keluarlah undi, pilih pemimpin yang kita hendak,” katanya ketika di temui di Sk Ramuan China Besar di sini pagi ini.

Warga emas, Selamah Ismail teruja mengundi walaupun berkerusi roda.
Selamah Ismail yang tiba di pusat mengundi dengan berkerusi roda teruja untuk mengundi.

Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula 8 pagi ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan sebanyak 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.

Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, di bawah kendalian 12,290 petugas pilihan raya di 28 kerusi DUN sehingga waktu mengundi tamat pada 5.30 petang. -MalaysiaGazette