Parang yang digunakan oleh suspek untuk melindungi anaknya daripada ditahan polis.

KUANTAN – Sekumpulan anggota polis yang terlibat dalam Ops Sarang Khas dilibas dengan sebilah parang oleh seorang warga emas yang naik angin apabila pihak berkuasa itu mengepung rumahnya pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek bertindak agresif dan mengamuk bagi melindungi anaknya yang merupakan penagih dadah dengan menggunakan parang berukuran sepanjang 66 sentimeter bagi mengelak anaknya dicekup polis.

“Suspek bertindak di luar kawalan menyerang anggota dengan mengacukan parang dan melibas-libaskan parang ke arah anggota.

Wan Mohd Zahari Wan Busu

“Ketika lelaki itu melibas-libas parangnya telah mencedarakan jari seorang anggota pegawai inspektor namun mujur terkena pada sarung tangan,” katanya sambil menambah suspek berusia 70 tahun.

Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi mendapati pintu rumah dalam berkunci dan bermangga dari luar manakala pintu belakang berkunci dari dalam.

Suspek yang memegang parang panjang itu membuka pintu setelah anggota polis mengetuk pintu dan memperkenalkan diri.

Namun warga emas itu mengeluarkan kata-kata kesat  seperti ‘bengong, celaka datang ketuk pintu rumah orang pagi-pagi buta’ sambil mengacukan parang tersebut ke anggota polis.

“Pasukan telah menunjukkan kad kuasa polis dan telah memberi amaran beberapa kali supaya meletakkan parang tersebut namun suspek enggan dan bertindak agresif.

“Pada masa yang sama (seorang) koperal telah menepis tangan suspek yang memegang parang dan telah berlaku pergelutan,” ujarnya.

Kesan libasa parang terkena jari Inpekstor Sri Jai Selva Dasan A/L Balakrishnan

Jelas Wan Mohd Zahari, pasukannya menggunakan kekerasan minimum terhadap suspek bagi membuat tangkapan dan parang itu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 kerana menghalang penjawat awam melakukan tugasan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – MalaysiaGazette