Datuk Hasni Mohammad dalam Sidang DUN Johor hari ini.

KOTA ISKANDAR – Pusat Pelawat Perniagaan (BTC) di Johor yang menerima peruntukan RM10 juta akan beroperasi pada suku pertama tahun depan.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, BTC akan diselaraskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Johor.

“Secara amnya, daripada segi perspektif pelaburan, BTC di Johor akan mempercepatkan pergerakan pelabur dan pengembara perniagaan untuk masuk ke negeri Johor dan memudahkan lagi urusan perniagaan mereka.

“BTC ini akan dibuka bagi memudahkan pergerakan keluar dan masuk merentas sempadan darat sama ada di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) LinKedua,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok, ADUN Bukit Batu dan  ADUN Stulang berkaitan isu BTC pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Hasni berkata, pada Mac lalu, Kerajaan Persekutuan telah mewujudkan BTC di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Tujuan BTC adalah bagi memudahkan ketibaan Pelawat Perniagaan Jangka Pendek yang dikecualikan daripada menjalani kuarantin wajib tertakluk terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“BTC adalah antara komponen utama inisiatif Pusat Sehenti (OSC) yang diwujudkan kerajaan bagi kelancaran pergerakan serta mempermudahkan kemasukan pelawat bagi tujuan urusan perniagaan atau bekerja di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.