Muhammad Amin menunjukkan gambar kenangan arwah abangnya (Muaz) bersama isteri serta anak perempuannya.

GEORGE TOWN – “Kehilangan abang saya, Muaz beri impak besar buat keluarga namun kami termasuk isterinya (Nur Maziah Razak, 31) reda dengan ketentuan ini.”

Itu kata Muhammad Amin Mat Isa, 27, adik kepada Allahyarham Muaz, 31, mangsa maut akibat dihempap kenderaan ketika membaiknya di sebuah bengkel di Kampung Bukit, Bayan Lepas semalam.

Allahyarham Muaz Mat Isa.

Muhammad Amin yang merupakan guru di sebuah sekolah di Puncak Alam, Selangor terkejut sebaik menerima panggilan daripada kakak iparnya yang memaklumkan abangnya meninggal dunia.

Katanya, dia bersama kakak serta abang iparnya dari Negeri Sembilan bergegas ke Pulau Pinang susulan mendengar khabar tersebut tambahan pula dimaklumkan kematian Muaz akibat dihempap kereta.

“Tiada pengganti abang Muaz itu yang boleh saya gambarkan di mana kedudukan dalam keluarga kami. Malah dia (Muaz) merupakan anak yang taat kepada ibu bapa selain mengutamakan keluarga dalam apa jua keadaan.

“Dia (Muaz) merupakan individu pertama yang akan datang sekiranya emak dan ayah serta lima lagi adik beradik kami mempunyai sebarang masalah.

“Walaupun kematiannya tragis bagi orang lain namun bagi kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Muhammad Amin, abangnya mempunyai seorang cahaya mata itu mengusahakan bengkel membaiki kenderaan sejak enam tahun lalu dan kerap pulang lewat malam susulan tugas membaiki kenderaan pelanggan.

Nur Maziah (tengah) selesai membuat pengecaman jenazah suaminya di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang tadi.

“Semua kami termasuk isterinya tahu abang Muaz hanya akan pulang ke rumah apabila dia selesai tambah pula kediaman mereka di Juru itu jauh dari bengkel yang diusahakannya.

“Ikutkan kenderaan yang menghempapnya itu bukan diperlukan segera oleh pelanggan tetapi sudah menjadi satu kepuasan buat dirinya untuk menyiapkan segera kenderaan pelanggan,” katanya.

Tambah Muhammad Amin, jenazah abangnya itu akan dikebumikan ke kampung halaman mereka di Beseri, Perlis.

“Jenazah akan dibawa pulang hari ini sebaik proses bedah siasat selesai di Hospital Pulau Pinang,” ujarnya.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan, seorang mekanik meninggal dunia selepas dihempap kereta yang sedang dibaikinya dalam kejadian di sebuah bengkel Kampung Bukit berhadapan Balai Polis Bayan Lepas di sini, lewat malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.45 malam dan lelaki berusia 31 itu disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mekanik maut dihempap kereta