Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong (tengah) bercakap pada sidang media MCA berhubung kemenangan dua calonnya selepas PIlihan Raya Negeri (PRN) Melaka di World Youth Hotel, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 21 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak akan menjejaskan hubungan antara parti-parti dalam kerajaan peringkat pusat.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ia kerana BN sentiasa mengekalkan kestabilan dan kemakmuran sebagaimana yang termaktub di dalam manifesto parti itu pada PRN Melaka.

“Seperti mana yang kita kekalkan di Melaka iaitu kestabilan membawa kemakmuran, saya yakin ia boleh dibawa di peringkat pusat

“Saya juga yakin bahawa rakyat mahukan adanya kestabilan politik dan sebab itu dalam manifesto kita letakkan perlunya ada kestabilan politik dan kita perlukan sebuah kerajaan yang bersatu padu untuk kita mencapai kemakmuran demi kesejahteraan rakyat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu calon BN yang menang iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem dan ADUN Klebang, Lim Ban Hong.

Ka Siong optimis pemimpin peringkat Persekutruan akan turut bersatu padu dalam menjamin kesejahteraan kerana ia merupakan satu aspek yang lebih daripada perjara lainn kerana nikmat kesejahteraan itu perlu diberikan kepada rakyat.

Ditanya mengenai calon MCA yang akan diberikan kedudukan untuk menduduki jawatan sebagai exco kerajaan negeri, Ka Siong berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Ketua Menteri Melaka yang baharu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Bagaimanapun katanya, perkara itu terlalu awal untuk dibincangkan.

Dalam pada itu, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Air Hitam mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi-pengundi di Melaka khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri DUN Machap Jaya dan Klebang yang telah memberikan kemenangan kepada calon MCA.

Ujarnya, beliau berharap wakil rakyat baharu mereka itu nanti bakal menunaikan janji-janji sebagaimana yang telah dilafazkan sepanjang berkempen. – MalaysiaGazette