Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Pelancaran Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Dewan Durian Tawar, Bera, Pahang hari ini.

BERA – Menyedari kemahiran penggunaan Internet mampu membuka peluang ekonomi dan  meningkatkan taraf kehidupan, kerajaan menyediakan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di seluruh negara.

Ia bagi merapatka jurang digital semua lapisan masyarakat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada 15.4 juta orang penduduk negara ini terutamanya golongan B40 dan masyarakat luar bandar.

“PEDi bermatlamat meningkatkan tahap sosio ekonomi komuniti setempat dan memberi pendedahan kepada kemahiran digital agar semua penduduk, tanpa mengira kedudukan sosial mahupun geografi, berupaya menyertai dan mengambil peluang dalam ekonomi digital.

“Sebanyak 873 PEDi sedia ada akan dipertingkatkan dan dipergiatkan sebagai Pusat Sehenti untuk aktiviti ekonomi digital luar bandar,” katanya ketika berucap Majlis Pelancaran Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Dewan Durian Tawar, Bera hari ini.

Jelas Ismail Sabri, setiap PEDi dilengkapi akses perkhidmatan jalur lebar, kemudahan infrastruktur digital serta kakitangan terlatih untuk memberi perkhidmatan dan sokongan yang diperlukan oleh komuniti setempat.

Sebanyak 37 PEDi baharu akan dibuka pada suku pertama tahun 2022, sementara sebanyak 173 PEDi lagi akan beroperasi menjelang penghujung tahun depan.

“Ini menjadikan sebanyak 1,083 PEDi beroperasi di seluruh negara. Di Bera sahaja, terdapat seramai 1,158 peserta yang telah mendaftar sebagai ahli PEDi dan menggunakan pusat ini untuk menghadiri Kelas Keusahawanan seperti asas fotografi dan cara pemasaran di Shopee dan Yezza,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bera.

Seramai 48 usahawan telah dilatih di PEDi yang mana sebanyak 47 peratus daripadanya merupakan usahawan yang mengusahakan perniagaan makanan dan minuman, 42 peratus di dalam fesyen dan gaya hidup dan antara lain adalah perkhidmatan, agro dan elektronik.

Dalam pada itu, katanya, fokus utama PEDi ialah melahirkan dan memperkasa usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing.

“Sektor perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) merupakan tonggak ekonomi negara.

“Pada akhir tahun 2020, bilangan PMKS merangkumi hampir 1.2 juta, atau 97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan,” katanya.

PEDi menjadi sebuah pusat sehenti untuk mendekatkan usahawan kecil agar mesra terhadap ekonomi digital. – MalaysiaGazette