Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Kekalahan Pas tanpa memenangi sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ternyata memberi kesedihan kepada ahli-ahlinya.

Namun Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, kekalahan itu perlu diambil pengajaran untuk bermuhasabah.

“Menang sememangnya membawa kegembiraan, maka layaknya bersyukur pada Allah.

“Kalah pula membawa kesedihan, namun ia wajar diserikan dengan keinsafan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Sejurus pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, beliau mengucapkan tahniah kepada calon yang memenangi PRN Melaka.

Nasrudin yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia berharap kemenangan PRN Melaka kali ini dapat meneruskan agenda perpaduan ummah.

“Semoga tanggungjawab pemerintahan dapat dijalankan dengan sebaiknya dan agenda perpaduan ummah terus disuburkan,” katanya.

PRN Melaka ke-15 menyaksikan kemenangan bergaya Barisan Nasional dengan 21 kerusi, lima kerusi Pakatan Harapan dan dua kerusi Perikatan Nasional. – MalaysiaGazette