Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh selepas bercakap di sidang media mengenai pengumuman kemenangan parti Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Menara Persekutuan, Ayer Keroh, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 20 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Barisan Nasional (BN) memenangi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 28 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, selain itu Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi, Perikatan Nasional (PN) menang dua kerusi manakala Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim (Iman) dan calon-calon bebas tidak memenangi sebarang kerusi.

“Pilihan raya  DUN (Dewan Undangan Negeri) Melaka kali ini juga menyaksikan seramai 326,068 pengundi telah keluar mengundi.

“Secara keseluruhan, SPR berpuas hati dengan proses pengundian hari ini dan para pengundi telah dapat menunaikan hak mereka,” katanya pada sidang media di Menara Persekutuan, di sini, malam ini.

PRN Melaka terpaksa diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali. – MalaysiaGazette