KUALA LUMPUR – Affin Bank Berhad (Affin Bank) memperkenalkan A1addin, sebuah inisiatif Bank Digital yang membawa dimensi baharu kepada pengalaman perbankan.

A1addin bermaksud Rangkaian Bersepadu Dimensi Digital Lanjutan Pertama Affin Bank, sebuah bank digital yang beroperasi berasingan daripada sistem perbankan Affin yang sedia ada.

Ini merupakan langkah pertama Affin dalam segmen perbankan digital, yang dijangka berupaya untuk menarik minat generasi celik digital yang inginkan keperluan perbankan mereka dipenuhi pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada, tanpa perlu ke cawangan Bank.

Berkonsepkan “Sentuhan Keajaiban”, A1addin direka untuk memberikan pelanggan pelbagai manfaat perbankan termasuk tanpa caj yuran tahunan bagi perkhidmatan, pilihan antara perbankan Konvensional atau Islam dan kadar e-FD (e-Deposit Tetap) yang menarik.

Dengan platform e-KYC (Know Your Customer) A1addin, proses pembukaan dan kelulusan akaun bank pelanggan akan dilakukan sepenuhnya atas talian.

A1addin memberi lebih manfaat kepada para pelanggan melalui ciri keselamatan yang disediakan dalam cip maklumat 80K Kad Pengenalan Malaysia serta algoritma pengesahan identiti atas talian yang disedikan ketika proses pendaftaran.

Pelanggan A1addin juga akan dapat menggunakan perkhidmatan pemindahan dana melalui QR Pay dan DuitNow serta boleh menyimpan sehingga 99 pemindahan kegemaran dan pengebil JomPay.

Pelanggan A1addin boleh membuat letakan eFD/eTD-i atas talian pada kadar 2.40% selama 12 bulan, dengan simpanan minimum RM350 bagi setiap transaksi.

Pelanggan boleh memilih tempoh eFD/eTD-i antara 1 hingga 12 bulan dan menikmati perlindungan oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia sehingga RM250,000 untuk setiap pendeposit. – MalaysiaGazette