Datuk Hasni Mohamad

Oleh Dr. Kassim Thukiman

YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Hasni Mohamad telah menyempurnakan tanggungjawab tahunan yang paling besar, dengan membentangkan Belanjawan 2022 pada 18 November 2021 di Dewan Undangan Negeri Johor.

Pembentangan belanjawan yang bertemakan “Memperhebat Kesejahteraan Johor”, dibuat dalam keadaan agak kritikal, terutama senario politik yang menggambarkan hubungan ‘turun naik’ antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Kepanasan politik dalam Pilihan Raya Negeri Melaka tidak sedikit pun menjejaskan hubungan antara gabungan parti yang mentadbir negeri Johor pada saat ini.

Jelasnya, Muafakat Bangsa Johor menyerlahkan kerjasama antara parti bagi menunaikan tanggungjawab demi Negeri dan Bangsa Johor.

Dalam pada itu, sekali lagi Dato’ Hasni menunjukkan pemikiran  politik berperadaban tinggi, matang dan terbuka termasuklah kepada pembangkang.

Sepanjang pembentangan belanjawan dengan 4 impetus, 12 Agenda dan ratusan inisiatif, pemikiran beliau memang terfokus kepada kesusahan hidup rakyat yang menghadapi pelbagai cabaran pasca pandemik.

Atas semangat pendemokrasian, pihak pembangkang mendapat peruntukan yang sama dengan parti kerajaan, untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Selain bersetuju menerima kehadiran pembangkang dalam Jawatankuasa Tindakan Daerah sebagai pemerhati, beliau mengalu-alukan sebarang idea, pandangan dan kritikan membina untuk memulihkan ekonomi Johor.

Pada hemat saya, kesemua ini menggambarkan semangat Keluarga Malaysia, yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaacob.

Menurut Dato’ Hasni, Belanjawan ini amat mudah difahami matlamatnya, iaitu untuk membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan dalam pasca pandemik.

Justeru, beliau menggesa kakitangan kerajaan Johor jangan melengah masa. Laksanakan segala inisiatif yang terdapat dalam Belanjawan, semata-mata untuk membantu rakyat dan memulihkan ekonomi Johor.

Beliau mengakhiri ucapan dengan suatu pernyataan yang menyentuh perasaan iaitu “perbetulkan niat kita untuk berkhidmat kepada rakyat. Kita merupakan orang yang paling bahagia, apabila kita menyaksikan rakyat mendapat manfaat yang maksimum, hasil daripada dasar dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri”.

Semoga ramai lagi pemimpin sebegini dapat dihadirkan dalam arus perdana politik untuk mensejahterakan rakyat dan memakmurkan ekonomi negara.

Dr. Kassim Thukiman merupakan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia