Mazlan Bujang

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 51,519 naskhah Modul Pembugaran Literasi dan Numerasi Berfokus (MoLIB) telah diedarkan kepada murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) di negeri ini yang mempunyai masalah 3M (membaca, mengira dan menulis).

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang menyifatkan langkah itu dibuat bagi memastikan murid Tahap 1 menguasai kemahiran 3M disebabkan penutupan sekolah akibat Covid-19 sebelum ini.

“Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah menggerakkan pelbagai usaha dalam menangani masalah 3M murid Tahap 1.

“Murid-murid dibekalkan dengan modul yang sesuai mengikut aras semasa PKP bagi memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) dilaksanakan seperti yang telah dirancang.

“Selepas pandemik pula JPNJ telah menggerakkan penggunaan Modul Literasi dan Numerasi Berfokus (MoLIB) yang dibangunkan oleh Institut Pendidikan Guru khusus kepada 40 sekolah rintis Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN),” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Nor Rashidah Ramli (Pasir Raja-BN) yang bertanya mengenai usaha JPNJ memastikan murid menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira selepas tempoh pandemik Covid-19.

Katanya, selain itu Modul Pemugaran Literasi dan Numerasi dibangunkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum di bawah inisiatif KPMPerkasaku melibatkan semua sekolah rendah.

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, pemantauan telah digerakkan di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah bagi memastikan penggunaan modul terbabit digunakan secara maksimum.

Tambah beliau, usaha terbabit dapat mempercepatkan proses penguasaan kemahiran 3M dalam kalangan murid yang mempunyai masalah penguasaan bidang terbabit. -MalaysiaGazette