Hasni Mohammad

KOTA ISKANDAR – Kerajaan negeri Johor akan mengaktifkan semula Segitiga Ekonomi Singapura-Johor-Kepulauan Riau (SIJO-Kepri) menerusi penyertaannya dalam Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT).

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, penglibatan kerajaan negeri dalam IMT-GT merupakan tindakan positif yang membuka peluang untuk meningkatkan hubungan antara Johor-Riau.

“Kerjasama IMT-GT akan diaktifkan dengan penubuhan Joint Business Council yang dianggotai oleh kesemua 11 negeri yang terlibat, bersama-sama SME dan pelabur tempatan untuk membincangkan kerjasama strategik dalam pelbagai peluang ekonomi yang boleh diceburi.

“Sehubungan dengan itu, Kerajaaan Persekutuan pula menyasarkan jumlah pelaburan yang dapat ditarik di bawah IMT-GT bernilai hampir RM1 bilion bermula 2022 dan 2023 dengan kerjasama sektor awam-swasta, rakan-rakan strategik lain serta institusi antarabangsa seperti Asian Development Bank,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan lisan Dzulkefly Ahmad (PH-Kota Iskandar),  Sulaiman Mohd. Nor (PH-Kemelah) dan Tan Chen Choon (PH-Jementah) pada Persidangan Dewan Negeri Johor ke-14, di sini, hari ini.

Sementara itu Hasni memberitahu, projek pembangunan Zon Ekonomi Khas Pagoh dijangka siap dalam tempoh lima hingga tujuh tahun.

“Kerajaan Persekutuan menerusi Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) telah melantik Johor Corporation (JCorp) untuk menjalankan Kajian Kemungkinan PSEZ dan Kajian Kemungkinan Pusat Perindustrian Gambir secara menyeluruh.

“Pembangunan ini juga dijangka mampu menjadi pemangkin bagi pembangunan di kawasan Pagoh dan sekitarnya dengan memberi peluang pekerjaan dengan anggaran sebanyak 21,200 pekerjaan baharu kepada penduduk setempat,” katanya. – MalaysiaGazette