Muhammad Nur Azam Ghazali dan Chu Wei Wei

 

KUALA LUMPUR – Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak Dengan Kepujian, Muhammad Nur Azam Ghazali, mencipta sejarah manis apabila berjaya meraih empat anugerah sempena Majlis Istiadat Konvokesyen ke-22 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Berasal dari Kampung Permatang Pasir, Bachok, Kelantan, Muhammad Nur Azam meluahkan rasa syukur apabila terpilih antara 4,009 graduan ketika menerima kurnia anugerah oleh Canselor Raja Permaisuri Perak ,Tuanku Zara Salim pada sesi pertama.

Sebagai anak sulung lelaki dalam keluarga dan keempat daripada sembilan beradik, kehilangan ayah pada 2019 mencetuskan impian untuk mengubah nasib keluarga apabila melanjutkan pengajian di universiti.

Malah, doa ibunya, Jaina Yusoff, 56, seorang peniaga pasar di Pasar Jelawat, Bachok yang tidak putus memberi kekuatan kepada Muhammad Nur Azam tekun sepanjang pengajian.

Selain Anugerah Pelajaran Diraja, Muhammad Nur Azam menerima Hadiah Buku Fakulti Pembangunan Manusia, Anugerah Buku Adni, serta Anugerah Khas Adni.

”Suatu ketika, pernah terdetik dalam benak fikiran dan saya percaya, melalui saluran pendidikan dapat mengubah nasib bukan saya sahaja, tetapi juga nasib keluarga,” katanya.

Sebagai anak keempat daripada sembilan orang adik-beradik, saya perlu lekas sedar, pendapatan ibu sebagai peniaga kecil-kecilan di pasar tidaklah sebesar mana, lebih-lebih lagi selepas pemergian arwah ayah Ghazali yang meninggal dunia pada tahun 2019.

“Ketika belajar dan sibuk menjalankan tanggungajwab sebagai Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Perwakilan Pelajar, saya pernah tertidur di dalam kelas kerana sangat penat,” katanya.

Dia yang sedang melanjutkan pengajian sarjana pendidikan awal kanak-kanak di universiti yang sama meraih PNGK 3.94 menganggap selain keutamaan kepada akademik, namun perlu menjadi pelajar yang holistik.

Muhammad Nur Azam yang kini menjadi pensyarah di sebuah kolej di Kota Bharu, berkata selain akademik aktif memberi sumbangan
kepada masyarakat melalui penglibatan program aktiviti sukarelawan, kepimpinan, kerohanian dan sosio ekonomi yang dianjurkan pada
peringkat universiti, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Dia yang berazam menjadi pensyarah dan menguasai bidang psikologi kanak-kanak berkesempatan ke Korea, China, Indonesia dan Thailand untuk program kepemimpinan dan kesukarelawanan semasa belajar.

Sementara itu anak pekerja warung kedai kopi , Chu Wei Wei, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains) Dengan Kepujian turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja.

Graduan yang berasal dari Ayer Itam, Pulau Pinang ITU teruja dan gembira selepas terpilih untuk menerima anugerah tersebut dan
berterima kasih kepada kedua ibubapa yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang.

“Saya tetap diberikan didikan yang sempurna walaupun ayah hanya bekerja sebagai pembantu kedai warung kopi, manakala ibu saya membantu bapa dengan bekerja di gedung pakaian.

Selain itu, pensyarah-pensyarah universiti serta rakan-rakan turut sama banyak memberi galakan untuk Chu Wei Weisaya terus berusaha
mencapai kejayaan.

“Dengan anugerah ini juga memberi saya motivasi untuk terus berusaha pada masa depan,” jelas anak tunggal ini. – MalaysiaGazette