: Muhammad Hakimi Mohamad Zafridin penerima Anugerahkan Pegawai Kadet Kor SISPA Terbaik UTeM 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 24 orang mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima pentauliahan sebagai Leftenan Muda (PA) di Majlis Pentauliahan Kor
Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali ke-12 tahun
2021, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Muhammad Hakimi Mohamad Zafridin, 25 tahun, graduan
Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan Kepujian dari Fakulti
Kejuruteraan Pembuatan (FKP) telah dianugerahkan Pegawai Kadet Kor SISPA
Terbaik UTeM 2021.

Beliau yang merupakan Presiden Kor SISPA UTeM bagi sesi 2018/2019 banyak
melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
di peringkat universiti dan negeri Melaka.

Antaranya menyertai anggota sukarelawan Pertahanan Awam di Pusat Kawalan
Operasi Daerah Melaka Tengah dan pernah bertugas di Pusat Pemindahan
Sementara banjir di Melaka, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) merangkap Komandan Kor
SISPA UTeM, Penolong Persuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam, Profesor Dr.
Zulkifilie Ibrahim berkata, karakter diri melalui keterlibatan dalam KOR SISPA
merupakan salah satu platform yang sangat tepat dan membuahkan hasil yang
cukup membanggakan kerana berjaya melahirkan modal insan yang terlatih dan
berdisiplin.

Jelas beliau, mahasiswa UTeM amat digalakkan untuk melibatkan diri dalam aktiviti
kesukarelawanan melalui sokongan pelbagai pihak melalui program berbentuk
khidmat komuniti, kemasyarakatan, badan beruniform dan sebagainya.

”Pihak UTeM amat menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti sepanjang
tempoh pandemik melalui penugasan di bilik gerakan, bertugas di Pusat Pemberian
Vaksin (PPV) dan membantu bersama dalam proses kemasukan semula pelajar
baru-baru ini," ujarnya dalam kenyataan yang diberikan baru-baru ini sempena
dengan majlis tersebut yang turut dihadiri beliau.

Di samping itu beliau juga turut mengucapkan tahniah buat 23 lagi mahasiswa UTeM
yang telah berjaya menamatkan dan ditauliahkan sebagai Leftnenan Muda
Pertahanan Awam. – MalaysiaGazette