Polis Pulau Pinang rampas hampir 1.72 juta batang rokok seludup dalam beberapa serbuan pada Isnin lalu.

SEBERANG PERAI – Polis menahan empat lelaki bersama 85,940 kotak yang mengandungi hampir 1.72 juta batang rokok seludup dalam beberapa serbuan di Bukit Mertajam dan Butterworth pada Isnin lalu.

Serbuan yang bermula jam 7.50 pagi itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Hasil kesemua serbuan membawa kepada rampasan rokok seludup serta empat buah van bernilai RM482,000.

Shafee.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, serbuan pertama dibuat di sebuah premis kosong di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam.

Katanya, serbuan itu membawa kepada tangkapan tiga lelaki tempatan serta rampasan pelbagai jenis rokok disyaki tidak bercukai.

“Susulan itu, beberapa serbuan lagi dilakukan di Bukit Mertajam dan Butterworth sebelum menahan seorang lagi lelaki bersama rokok seludup di sebuah premis.

“Dalam kesemua serbuan itu, pihak polis turut merampas empat buah van yang dipercayai digunakan suspek untuk kegiatan mereka.

Van serta rokok seludup yang dirampas pihak polis.

“Kesemua empat suspek yang ditahan itu berusia lingkungan 30an dan siasatan lanjut mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Shafee, siasatan awal mendapati, kesemua premis yang diserbu itu dipercayai dijadikan gudang penyimpanan rokok sebelum dijual kepada pelanggan sekitar Pulau Pinang.

“Kesemua mereka kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” kata beliau. – MalaysiaGazette