Mohd Ridzuan Ab Ghapar

GEORGE TOWN – Keadaan cuaca tidak menentu serta kerosakan tanaman sayur milik petani di Cameron Highlands, Pahang dikatakan punca kenaikan harga sayur-sayuran.

Selain itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, bekalan sayur-sayuran import berkurangan ekoran negara pengeluar mengalami musim sejuk melampau turut menjadi faktor yang sama.

“Merujuk pada kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berhubung kenaikan harga sayur kita telah menghubungi Jabatan Pertanian Pulau Pinang serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mendapatkan maklumat punca kenaikan harga tersebut.

“Susulan itu, dua pihak berkenaan memaklumkan kenaikan harga sayur-sayuran di Pulau Pinang disebabkan oleh cuaca tidak menentukan sekali gus mengakibatkan bekalan sayur-sayuran di pasaran berkurangan serta kerosakan pada tanaman sayur-sayuran milik petani di Cameron Highland.

“Selain itu, antara faktor lain yang dikenal pasti termasuk kenaikan kos pengangkutan kontena daripada negara asal.

“Sehubungan itu, Seksyen Penguat Kuasa telah menjalankan pemeriksaan serta menyerahkan notis pengesahan maklumat barangan ke atas pengimport dan pemborong sayur bagi mendapatkan maklumat harga sayur-sayuran untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Harga sayur-sayuran naik 200 peratus – CAP

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa harga sayur-sayuran meningkat sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.

Antara sayur-sayuran itu membabitkan kubis bunga daripada harga RM7 kepada RM16 sekilogram; sawi pendek RM3 kepada RM9; brokoli RM8 kepada RM20 dan sawi RM5 kepada RM8.

Turut mengalami kenaikan ialah kacang buncis dari harga RM8 kepada RM15 sekilogram; kubis RM4 kepada RM6; cili merah RM13 kepada RM19 dan cili hijau RM10 kepada RM14. – MalaysiaGazette